SERAMAI 12 atlet bola jaring negara berlepas ke Singapura pada Khamis untuk bertanding di Kejohanan Bola Jaring Asia 2022 yang berlangsung dari 3 hingga 11 September 2022 di OCBC Arena, Singapura.

Skuad bola jaring kebangsaan diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Brunei dan Chinese Taipei dan berdasarkan ranking Asia, Malaysia dijangka mudah untuk melepasi peringkat kumpulan.

Kejohanan ini juga bertindak sebagai kelayakan ke Piala Dunia Bola Jaring 2023 yang akan berlangsung dari 28 Julai hingga 6 Ogos tahun hadapan dengan pasukan yang layak ke final akan mewakili Asia ke Piala Dunia.

Kesemua 12 pemain adalah terdiri daripada gabungan pemain yang berpengalaman seperti An Najwa Azizan dan Fariha Razak serta beberapa lagi pemain yang dipilih berdasarkan persembahan mereka ketika Netball Super League pada Mei.

Antara yang mencuri tumpuan tentunya Pemain Paling Bernilai (MVP), Nordiyanah Sabadinee dan Puteri Intan Balqis yang akan menggegar gelanggang dengan sambil dibantu rakan-rakan sepasukan diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali

Pasukan yang dibimbing Lisa Ann Beehaq ini pastinya mahu mengulangi pencapaian muncul juara ketika edisi 2016 manakala pada edisi 2018 muncul sebagai pemenang tempat ketiga.

Malaysia akan memulakan saingan berdepan cabaran Brunei pada Sabtu, 3 September 2022 sebelum menghadapi Chinese Taipei pada Isnin, 5 September 2022 sebelum melalui pusingan kedua yang dijadualkan pada Selasa, 6 September 2022.