KEJOHANAN Boling Padang Kuala Lumpur Open Fours Ambang Tahun Baru 2023/2024  menutup tirainya pada Ahad selepas tamat pusingan tujuh perlawanan yang diadakan pada musim kali ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Bowl KL, Mohamed Iqbal Hj Yusoff Sa menyatakan bahawa 56 buah pasukan dari dalam mahupun luar negara seperti Hong Kong dan Singapura telah terlibat sepanjang kejohanan tersebut berlangsung.

Menariknya, kejohanan edisi kali ini menampilkan Muhammad Idham Amin Ramlan selaku pemain terbaik lelaki sekali gus merampas gelaran pemain terbaik secara keseluruhan apabila berjaya menepis kekuatan yang ada pada 224 pemain yang lain.

Pemain muda berusia 23 tahun itu adalah taruhan kebangsaan dan baru-baru ini berjaya membawa pulang pingat perak dalam Kejohanan IIBC Piala Dunia Remaja Scotland dalam kategori perseorangan lelaki.

“Saya berjaya meraih tiga pingat dalam kejohanan yang dianjurkan oleh Boling Padang KL, jelas mereka membantu untuk saya tingkatkan lagi permainan saya.

“Mereka adakan banyak kejohanan dan bagi saya ianya mengasah lagi bakat dan corak permainan saya untuk saya pakai di kejohanan yang lebih besar nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Idham yang mewakili skuad Greenfinder dalam Kejohanan Boling Padang KL telah sedikit sebanyak membantu pasukannya untuk menumpaskan skuad Sang Saka Biru pada perlawanan akhir yang berlangsung tadi (Ahad).

Difahamkan bahawa kejohanan boling padang ini akan meneruskan gerak kerja yang agak sinonim pada musim hadapan dan berharap agar mendapat lebih perhatian daripada masyarakat tempatan.