PERSIAPAN mentaliti di gelanggang menjadi penentu kemampuan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam misi mempertahan gelaran Kejohanan Dunia, di Copenhagen, Denmark.

Fokus dalam setiap perlawanan dan mengekalkan momentum di sepanjang masa berada dalam gelanggang, menjadi kunci kejayaan mereka melepasi pusingan akhir awal pagi tadi.

Gandingan keempat dunia itu, berjaya mengatasi rintangan yang dihadirkan pasangan China di ranking ketujuh, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, dengan kemenangan 21-10, 15-21, 21-14 dalam masa  21 minit di Royal Arena, menebus kehampaan kekalahan tiga pertemuan sebelum ini.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik sandaran tunggal negara di separuh akhir Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark.

“Yang penting adalah persiapan mentaliti di gelanggang, kerana kami masih bimbang sama ada boleh menang atau kalah.

“Sekiranya terlalu banyak berfikir, ia menjadikan kami tidak dapat beraksi dengan baik… jadi kami hanya fokus dan siapkan mentaliti,” kata Aaron.

Aaron-Wooi Yik berada di landasan tepat mempertahan kejuaraan.

Kemenangan itu membawa mereka ke separuh akhir, menentang gandingan keenam dunia dari Kroea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.

“Kami mahu kekalkan momentum dan memberi saingan yang baik. Kami akui bergelut di pusingan pertama dan cuba bangkit dengan yakin semula.

“Kami dapat berkomunikasi dengan lebih baik selepas itu. Harap kami dapat melakukan dengan baik hari ini.”

Aaron-Wooi Yik muncul wakil tunggal negara ke separuh akhir selepas dua lagi pasangan di suku akhir, Pearly Tan-M Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas kepada lawan masing-masing.