SEBUT sahaja tentang iklan komersial di televisyen, siapa tidak kenal dengan jejaka berbadan sasa ini yang sering muncul di kaca televisyen dengan aksi menumbuk nyamuk dengan kedua-dua belah tangan.
Insan tersebut adalah Syed Faizal Syed Ali yang juga merupakan seorang atlet bina badan kategori ‘Physique Sports’.
Jelasnya, kemunculan kali pertama dalam dunia iklan hadir secara kebetulan dan sama sekali tidak dirancang.
Mulanya, Syed Faizal menolak ajakan rakan yang mengajaknya menghadiri ujibakat mencari pelakon iklan syarikat Shieldtox kerana langsung tidak berminat dengan bidang lakonan.
Namun, benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, dia tetap dipanggil produksi untuk melakonkan watak tersebut kerana calon-calon lain tidak pandai berlakon.
Disebabkan itu, dia diserap untuk menandatangani kontrak bersama Shieldtox dan menjadi duta iklan komersial pada setiap acara di bawah syarikat produksi tersebut.
“Saya terikat dengan kontrak dengan Shieldtox tetapi untuk jenama lain masih belum ada. Itu saya punya sisi tepi saya selain sukan.
“Asalnya, saya orang terakhir pergi ke casting tersebut. Saya sudah tolak kepada kawan saya kerana tidak berminat tetapi itulah rezeki kan.
“Bila audisi sudah tutup, pihak produksi telefon saya dan minta saya membuat sedikit lakonan dan sedikit bercakap.
“Disebabkan rakan-rakan saya yang lain kurang mahir untuk bercakap, jadi saya terpilih untuk menjadi duta iklan jenama Shieldtox,” ujarnya kepada media di Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di Jalan Hang Tuah.
Sementara itu, Syed Faizal turut berkongsi bahawa selain terkenal melalui iklan di televisyen, dia juga bakal menyertai skuad bina badan kebangsaan untuk ke Kejohanan Dunia di Phuket bermula 6 hingga 12 Disember ini.
Syed bertanding bagi kategori Mens Physique ternyata berlainan dari acara yang dipertandingkan atlet bina badan kebangsaan yang lain yang lebih mementingkan komposisi muscle mass dan bulky.
Bagi kategorinya, dia perlu kelihatan fit dan kemas serta memiliki keseimbangan dari segi ketinggian dan berat.
“Untuk kategori Mens Physique dia lebih kepada simetri, condition dan proportion. Salah satunya yang penting tinggi dan berat. Kalau bina badan lain, dia lain lebih kepada buffy dan mass.
“Macam kategori saya dia lebih kepada menginginkan X-MEN punya badan. Dia separuh bina badan, separuh fizikal. Di atas pentas, dia menilai dari posing kita, penampilan kita, harus kemas termasuk sikap dan disiplin,” katanya.
Sedar cabaran hebat bakal ditempuh antaranya dari negara Kemboja, dia menjelaskan akan tetap memberikan persembahan terbaik tanpa meletak harapan terlalu besar pada kejohanan kali ini.
“Untuk julung-julung kalinya, ini adalah kali kedua, agak mencabar bagi saya kerana terdapat cabaran dari 44 buah negara, ia bukan mudah tetapi demi negara dan persatuan saya akan cuba yang terbaik.
“Pencabar paling hebat sudah tentu dari Kemboja kerana mereka memiliki persiapan yang baik dan mempunyai bentuk tubuh yang lebih mantap,” jelasnya.