NASIB malang menimpa jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang apabila tersingkir di pusingan kedua saingan pecut individu Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, biarpun pertama melepasi garisan penamat.

Berdepan pelumba Australia, Tom Cornish, Azizulhasni yang pertama tiba di garisan penamat pada perlumbaan yang berlangsung di Velodrom Sir Chris Hoy itu, dibatalkan kemenangannya atas alasan teknikal, kerana memasuki laluan memecut lawannya yang terlebih dahulu berada di posisi itu.

Situasi ketika The Pocket Rocketman didakwa memasuki laluan lawannya dikesan ketika dia hilang keseimbangan selepas selekoh terakhir dan memasuki lorong Cornish di laluan lurus terakhir, selain hampir bersentuhan dengan pencabarnya itu.

Justeru, Azizulhasni disingkirkan dan kemenangan diberikan kepada Cornish.

Tulisan putih tertulis “Has been relegated for entering the sprinter’s lane when the opponent was already there” menjadi alasan rasmi Umpire perlumbaan membatalkan kemenangan Datuk Azizulhasni Awang.

Keputusan itu tentunya mengecewakan buat pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu yang beraksi cemerlang ketika pusingan kelayakan dengan merakam masa keempat terpantas dengan catatan 9.584 saat (s).

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom terlebih dahulu ditunjukkan jalan keluar daripada saingan apabila tewas kepada pelumba Australia, Matthew Richardson di pusingan pertama.

Di pusingan kelayakan, Shah Firdaus menghuni tangga ke-25 dengan catatan 9.9s.

Seorang lagi pelumba negara, Fadhil Zonis pula terlepas kelompok 28 terbaik untuk beraksi di pusingan pertama selepas sekadar menghuni tangga ke-35 di pusingan kelayakan dengan catatan 10.225s.