PASUKAN e-sukan negara, Todak nyata berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan mereka di peringkat kumpulan Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (M4).

Ketua Bahagian Arena pertarungan atas talian multipemain (MOBA) Todak, Mohd Syazlan Mohd Rosdi berkata, pasukannya enggan mendabik dada dengan pencapaian itu.

Sebaliknya, Mohd Syazlan atau lebih dikenali dengan nama Ashi memberitahu masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam memastikan misi layak ke perlawanan akhir tercapai.

“Untuk peringkat kumpulan, semestinya tiada jawapan lain selain puas hati, kerana pemain sudah memberikan keputusan yang baik dan ia hasil daripada percaturan jurulatih dan penganalisis kami.

“Namun, penambahbaikan sentiasa menjadi keutamaan pasukan untuk menghadapi pusingan “playoff” nanti,” katanya kepada Mohd Syazlan.

Terdahulu, pada peringkat kumpulan kejohanan M4, Todak mencipta sensasi apabila meraih mata penuh dengan rekod tanpa kalah sekali gus melayakkan diri ke peringkat upper bracket.

Todak muncul satu-satunya pasukan yang menang semua pertarungan, mengungguli kumpulan B dalam saingan M4 2023.

Siapa bakal menjadi lawan mereka di peringkat Upper Bracket nanti, Mohd Syazlan enggan terlalu memikirkannya.

Katanya, pasukan lebih fokus kepada strategi yang akan digunakan serta mengkaji cara terbaik meningkatkan prestasi Todak untuk perlawanan seterusnya.

Todak menanti siapakah akan menjadi lawan mereka di pusingan kalah mati Upper Bracket, M4.

“Dari segi persiapan, kami masih mengkaji dan cuba untuk menaiktaraf strategi yang akan kami gunakan kerana setiap pasukan sudah pasti akan cuba memusnahkan winstreak Todak di M4 ini,” katanya.

Pada perlawanan upper bracket pertama, Todak dijangka membuat perhitungan dengan naib Juara Kumpulan C sama ada RRQ ataupun RSG SG yang akan bertemu hari ini

Untuk rekod, 16 pasukan antarabangsa bersaing untuk merebut gelaran juara kejohanan M4 yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak AS$800,000 (RM1.8 juta).