PERSEKUTUAN Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Pantai Dunia pertama tahun hadapan.
Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, kejohanan yang julung kali akan dianjurkan itu dijangka berlangsung Disember tahun hadapan.
“Kejohanan Sepak Takraw Pantai Dunia pertama ini bakal berlangsung di Padang, Sumatera Barat, sekitar Disember 2023,” katanya selepas kunjungan ke Padang pada Khamis.
Beliau berkata, usul mengenai Kejohanan Sepak Takraw Pantai Dunia itu dibuat dalam usaha memasukkan acara itu dalam kalendar Sukan Pantai Dunia, yang akan berlangsung di Bali, Indonesia, tahun hadapan, yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos.
Abdul Halim berkata, sebagai tuan rumah, Majlis Olimpik Indonesia akan menjadi penganjur kepada kejohanan terabit.
Dalam kunjungannya ke Padang, Sumatera Barat, Indonesia semalam, Abdul Halim bertemu Gabenor Sumatera Barat, Mahyeldi Ansarullah.
Menurut Abdul Halim, Mahyeldi mahu Sumatera Barat menjadi destinasi pelancongan tumpuan 2023.
Lawatan selama empat hari ke Sumatera Barat itu turut menyaksikan delegasi Istaf meninjau pantai dan lokasi menarik di Padang, Pariaman dan Bukit Tinggi.
“Kami turut mengadakan pertemuan dengan Wakil Ketua Umum Sepaktakraw Asia Putra Sumatera Barat, Syafrizal Bakhtiar dan Mahyeldi di Istana Bung Hatta, di Bukit Tinggi.
“Kami menyampaikan hasrat menjadikan Sumatera Barat sebagai tuan rumah Kejohanan Dunia Sepak Takraw Pantai, bersesuaian dengan hasrat wilayah itu mahu menjadi destinasi tumpuan pelancong tahun hadapan,” kata Abdul Halim.
Menurut beliau, dijangkakan 12 negara akan mengambil bahagian pada Kejohanan Dunia Sepak Takraw Pantai itu nanti seperti Pakistan, Iran, India, Nepal, Jepun, China, Taiwan, Singapura, Thailand, Filipina, Malaysia, Switzerland, Afrika Selatan dan Indonesia.
Beliau berkata, selepas Padang, Sumatera Barat menjadi tuan rumah, kalendar sepak takraw pantai dijangka beralih ke Malaysia namun lokasinya belum ditentukan sama ada pantai di Melaka, Port Dickson (Negeri Sembilan) atau Pulau Pinang.
Begitupun, dalam siatuasi polemik tidak berkesudahan Persatuan Sepak Taraw Malaysia (PSM), yang belum disahkan menganggotai semula Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), selain pembubaran tidak sah Persekutuan Sepaktaraw Malaysia (Mastaf), siapakah yang boleh diharap mengelola kejohanan itu.
Siapakah yang Istaf percaya mampu mengelola Kejohanan Dunia Sepaktakraw Pantai 2024, jika Malaysia menjadi tuan rumah kelak?