JOHOR dan Melaka akan menjadi tuan rumah buat saingan Siri Golf Nasional Perodua (PNAGS) 2024 yang kini kembali menghangatkan industri sukan golf selepas berehat pada musim Ramadhan lalu.

Pusingan kelayakan di Johor akan diadakan di Palm Resort Golf & Country Club manakala Ayer Keroh Golf & Country Club menjadi tumpuan buat medan perlawanan di Melaka.

Sebelum ini, pusingan kelayakan bagi Wilayah Persekutuan dan Selangor masing-masing diadakan The Mines Resort & Golf Club pada 29 Februari lalu dan Kelab Golf Seri Selangor, pada 7 Mac lalu.

Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak menganggap bahawa PNAGS 2024 adalah satu-satunya pertandingan golf di negara ini yang memberikan peluang kepada pemain amatur golf tempatan mengasah bakat dan berdepan saingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, pemenang bagi setiap pusingan mengikut lima kategori handicap dipertandingkan, mempunyai hak untuk mewakili negeri masing-masing pada saingan Pusingan Akhir Kebangsaan di Forest City Golf Resort, Johor pada 8 hingga 10 September ini.

“Lima juara kebangsaan bagi setiap kategori ini pula akan mewakili negara pada pusingan final Kejohanan Golf Amatur Dunia Akhir Dunia (WAGC) di Laguna Phuket, Thailand pada 25 Oktober hingga 2 November.

“Pada edisi ke-28 di Laguna Phuket kelak, pemain kita akan menggalas cabaran berdepan cabaran pemain-pemain daripada 40 negara seluruh dunia.

“Ini adalah peluang yang besar bagi pemain amatur untuk menunjukkan kebolehan mereka di peringkat global,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Saingan PNAGS merupakan satu aksi yang diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Kementerian Belia dan Sukan. Ia turut mendapat sokongan Tourism Malaysia manakala PERODUA telah tampil selaku penaja utama.