KEJOHANAN Hoki Piala Franciscan yang melibatkan penyertaan dari peringkat antarabangsa akan membuka tirainya pada 27 hingga 31 Disember 2023 di Stadium Hoki MBMB Melaka.

Menariknya, edisi kedua kejohanan hoki Bawah-15 dan 12 tahun ini akan diwakili oleh pelajar-pelajar yang majoritinya terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah seluruh negara yang menjalani projek pembangunan hoki baik di sekolah mahupun kelab-kelab di luar sekolah.

Menurut Ketua Penasihat Unit Hoki Sekolah Kebangsaan Sekyen 13 Cikgu Anita Zahari, sebanyak enam pasukan dari Shah Alam yang terdiri daripada empat pasukan lelaki dan dua pasukan perempuan akan turun memberi saingan dalam kategori Bawah-12 tahun.

Malah jelasnya, pembangunan sukan hoki di Sekolah Kebangsaan Seksyen 13 turut dibantu oleh guru-guru penasihat Unit Hoki, Pengurus Teknikal dan Domestik serta sokongan penuh daripada ibu bapa  secara intensif dari sudut persiapan semua pemain dan pengurusan acara terbabit.

“Alhamdulillah dari segi persiapan semua telah berada pada tahap yang baik dan sudah bersedia sepenuhnya.

“Latihan secara intensif telah diadakan di bawah bimbingan jurulatih profesional iaitu Coach Fathi Kamel Shahrom Jamel serta kami telah menjemput pemain kebangsaan, Mohd Hafiz Zainol untuk memberi tunjuk ajar kepada pemain-pemain cilik ini.

“Kami juga turut terlibat dengan kejohanan peringkat daerah serta perlawanan persahabatan sebagai pendedahan sekali gus dapat menguji tahap kemampuan para pemain dan memperbaiki kelemahan yang dilihat,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Untuk rekod, edisi pertama kejohanan ini tidak dapat disertai oleh pasukan dari Shah Alam kerana keadaan banjir yang melanda daerah tersebut pada Disember tahun lalu.

Oleh itu, tahun ini merupakan detik yang penting untuk mereka kembali mencipta sejarah dalam kejohanan besar seperti ini dengan menggelarkan pasukan sebagai  ‘Thunder 13’ di peringkat lebih tinggi.

Namun begitu, Cikgu Anita turut beranggapan bahawa saingan pada edisi kali ini mungkin lebih mencabar kerana terdapat 50 pasukan lelaki dan 40 pasukan perempuan yang mengambil bahagian dalam kempen kejohanan ini.

“Apapun, kita cuba tolak tepi tentang perkara itu kerana kejohanan ini akan menjadi satu platform terbaik untuk membina jati diri serta panduan kepada anak-anak untuk terlibat dalam sukan hoki dengan lebih serius dan bukan sekadar untuk mengisi masa lapang sahaja.

“Sukan seperti ini lah merupakan salah satu lorong untuk merintis laluan pendidikan peringkat tertinggi serta membina kerjaya pada masa hadapan,” tambahnya.