SKUAD karate negara hanya berjaya menambah satu lagi pingat gangsa pada hari terakhir Kejohanan Karate Asia 2023, apabila trio wanita, Lovely Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil memenangi perlawanan penentuan tempat ketiga, acara Kata berpasukan (trio) wanita.

Beraksi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Lovelly, Naccy dan Niathalia berjaya menewaskan Hong Kong dengan pungutan 42.4 mata berbanding lawan, 41.8 mata.

Lovelly-Naccy-Niathalia mempamerkan persembahan bergaya untuk mengatasi Hong Kong pada penentuan tempat ketiga, sekali gus memenangi pingat gangsa Kata berpasukan (trio) wanita, Kejohanan Karate Asia 2023.

Menurut Lovelly, pencapaian kali ini lebih membanggakan berbanding memenangi pingat gangsa di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu.

“Di sini, ada top ranking dan semua yang datang memiliki ranking dunia, untuk mendapat tempat terbaik di kejohanan ini amat susah,” kata Lovelly.

Antara persembahan kemas ditonjol Lovelly-Naccy-Niathalia, ketika memenangi pingat gangsa Kejohanan Karate Asia 2023 di MITC Melaka.

Tambahnya, pingat gangsa dimenangi juga menebus kekalahan mereka pada edisi Kejohanan Asia 2022 di Tashkent, Uzbekistan.

Karateka berusia 19 tahun itu berkata, antara faktor kejayaan mereka adalah keserasian.

Sementara itu, Naccy memberitahu, kelainan ditampilkan pada acara itu membuahkan hasil selepas mereka meningkatkan intensiti latihan dan sebagainya.

Lovelly-Naccy-Niathalia berharap MAKAF menyenaraikan mereka ke Sukan Asia Hangzhou, 2022.

Perkara sama dikongsi Niathalia: “Kami memperbaiki prestasi kami dari segi aspek bunkai dan kata, apa yang kami persembahkan kali ini berbeza berbanding di Sukan SEA.

“Kami ubah cara bunkai dan menjalani kaedah bunkai yang lebih baik,” kata Niathalia.

Kemenangan mereka sekali gus menamatkan kemarau pingat skuad negara sejak semalam dengan jumlah kutipan keseluruhan tiga pingat gangsa setakat ini.