PRESIDEN Miri FA, Nazri Ahmad Lai mahu Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022 melahirkan pemain muda berbakat untuk mewakili pasukan yang bernaung di bawah panji SSC dan FAS.

Dia juga ingin melihat lebih ramai pemain dari bahagian Miri terpilih untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

“Syabas dan tahniah kepada SSC-FAS di atas perancangan untuk mengelolakan kejohanan buat julung kalinya.

“Ianya satu langkah yang amat bertepatan kerana untuk umur sebegini (bawah 20 tahun) di sinilah pentas mereka untuk menunjukkan bakat dan karektor masing-masing untuk di pantau oleh pihak yang berkepentingan,” katanya dalam sidang media di Miri pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Mohd Saif Jubaidi.

Bagi menghadapi kejohanan ini, Nazri berkata, Miri FA telah merangka beberapa pelan tindakan agar pemilihan pemain bagi mewakili pasukan dapat dilakukan secara menyeluruh di seluruh bahagian Miri.

“Kita sedar, masih ramai lagi bakat dari kawasan luar bandar boleh kita ketengahkan dan kita terpanggil untuk menjejaki mereka.

“Justeru itu kita akan mengambil inisiatif untuk mengadakan pemilihan pemain di daerah Marudi pada 30 Julai, daerah Sibuti (31 Julai) dan seterusnya di daerah Miri (6-7 Ogos) untuk membentuk pasukan Bahagian Miri,” ujarnya.

Mohd Hakimi pikul tanggungjawab kendalikan pasukan Miri FA B-20.

Pada majlis sama, Nazri mengumumkan Mohd Hakimi Man sebagai Ketua Jurulatih pasukan Miri FA B-20.

“Kita memerlukan seorang jurulatih yang boleh membantu pemain untuk naik ke tahap lebih tinggi. Terdapat ramai pemain berpotensi tetapi tidak pernah “mencapai tahap prestasi mereka” kerana beberapa sebab yang sukar untuk kita jelaskan.

“Dia telah pun memiliki Sijil Kejurulatihan Lesen A FAM dan mempunyai track record yang begitu cemerlang dalam membangunkan bakat muda,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hakimi mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan dan keyakinan tinggi daripada Persatuan Bolasepak Bahagian Miri atas perlantikan itu.

“Saya lebih selesa berkerja dengan pemain-pemain muda. Bakat-bakat pemain muda ini, masih ada ruang untuk dibentuk menjadi pemain yang lebih hebat pada masa depan.

“Kita tidak boleh bersandarkan kepada pemain yang ada nama semata-mata tetapi pemain yang boleh bekerja untuk pasukan serta ada kemahuan tinggi dalam diri sendiri untuk berjaya.

“Aspek ini ada pada sebahagian besar pemain muda,” katanya telah berkecimpung dalam bidang kejurulatihan selama 25 tahun.