MIRI FA Bawah 20 (B-20) tahun bersantai seketika menonton wayang ‘Rempit-2’ sebelum menghadapi aksi separuh akhir Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022 di Stadium Negeri Kuching pada Khamis ini.

Jurulatihnya, Mohd Hakimi Man berkata, ia antara kaedah pasukannya bagi mengukuhkan semangat berpasukan di kalangan pemain dan staf.

“Setelah berjuang sehabis daya dan menempatkan pasukan Miri di slot separuh akhir kita satu pasukan bersantai seketika menonton Cinema di GSC City One Megamall.

“Di sebelah pagi tadi kita memulakan program spesifik persediaan dengan proses pemulihan di Kolam Renang KBS dan mandi jakuzi. Inilah antara inisiatif yang ambil sendiri bagi memulihkan pemain yang penat,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Rabu.

Pemain Miri FC B-20 dalam mood tertinggi untuk mengharungi aksi separuh akhir nanti. FOTO – Arena Sport Borneo

The Young Seahorse miliki jadual padat sebelum mara ke separuh akhir apabila bermain selama tiga hari berturut-turut.

Bermula memenangi aksi pertama menewaskan Sarikei FA (1-0 ) sebelum tewas kepada Serian FA (1-2) namun bangkit aksi ketiga membenam PEC Bintulu (3-1) untuk muncul naib juara Kumpulan A.

ARTIKEL BERKAITAN : Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022 medan lahir pemain muda berbakat Sarawak

“Pertandingan secara format karnival sangat memenatkan pemain. Mereka perlu berjuang tiga hari berturut-turut.

“Tidak seperti pasukan lain yang membolehkan mereka berehat sehari sebelum perlawanan. Tahniah anak-anak muda The Young Seahorse pasukan Miri FA B-20 yang telah menewaskan pasukan PEC Bintulu.

“Walaupun ketinggalan jaringan pada separuh masa pertama, anak-anak muda ini cepat bangkit untuk berjuang sehingga mendapat kemenangan,” katanya masih menanti siapakah lawan dari Kumpulan B yang hanya akan diketahui pada petang esok.