PRESIDEN Persatuan Motorsport Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir percaya Kejohanan Motorsport Asia Pasifik (APMC) yang diadakan buat julung kalinya di Malaysia akan menjadi satu penghormatan besar buat negara.

Beliau menegaskan bahawa isu keselamatan adalah yang paling utama bagi setiap aksi permotoran supaya mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kami daripada pihak APMC sendiri mempunyai kakitangan yang berkualiti dan berpengalaman dimana mereka dapat memastikan keselamatan acara mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

“Hal ini menuju kepada satu matlamat iaitu mengurangkan tahap risiko kecederaan dan insiden meragut nyawa dalam Kejohonan Motorsport,” katanya kepada pihak media.

Selain itu, ketua pasukan Malaysia dalam APMC, Jazeman Firhan Jaafar berkata kriteria pemilihan pasukan adalah berdasarkan bakat serta pengalaman yang tinggi walaupun daripada peringkat akar umbi.

Bekas pemandu Formula1 yang pernah menjulang trofi Kejuaraan Ketahanan Dunia FIA itu turut menyasarkan bahawa Malaysia akan berada di kedudukan ‘Top 3’ dalam APMC.

“Malaysia yang sudah berpengalaman dan mempunyai sejarah yang luas dalam sukan permotoran mempunyai peluang untuk berada di kedudukan terbaik.

“Secara keseluruhan juga, APMC akan meletakkan Malaysia di mata dunia walaupun kelak akan berentap dengan negara-negara yang mempunyai infrastruktur yang hebat seperti Indonesia dan Filipina,” menurutnya.

APMC yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 30 September hingga 1 Oktober bakal menyaksikan 23 buah negara mengambil bahagian dalam kejohanan ini.