TIADA pingat buat skuad olahraga negara pada hari pertama Kejohanan Olahraga Asia 2023, yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara sekadar menamatkan saingan akhir di tempat keenam, yang menyaksikan kekurangan dari segi pertukaran baton.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai itu, kuartet negara yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Mohammad Thaqif Hisham terpaksa berpuas hati dengan catatan 39.17 saat (s).
Pingat emas acara itu dimenangi kuartet Thailand yang dibarisi Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson yang mencatat masa terpantas 38.55s yang juga rekod baharu kejohanan.
Kuartet China meraih perak dengan catatan 38.87s manakala Korea Selatan ketiga 38.99s.
Begitupun, catatan yang dilakukan kuartet negara di final lebih pantas berbanding separuh akhir 39.20s.
Sementara itu, kuartet wanita negara yang dibarisi Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 45.56s.
Catatan masa itu, jauh lebih perlahan berbanding rekod kebangsaan yang dilakukan di Sukan Sea Kemboja, 44.58s yang dicipta Zaidatul, Nur Afrina Batrisyia serta dua lagi pelari yang tidak berada di final, Azreen Nabila Alias dan Nor Aishah Rofina Aling.
China menepati ramalan apabila meraih emas dengan catatan 43.35s manakala Jepun kedua (43.95s) dan Thailand ketiga (44.56s).
Dalam pada itu, final 400m lelaki, menyaksikan pemegang rekod kebangsaan, Umar Osman gagal dalam usaha untuk melangkah ke final apabila sekadar menamatkan aksi separuh akhir 1 di tempat keempat dengan catatan 46.42s.