PELARI pecut harapan negara, Muhammad Azeem Fahmi, berjaya melayakkan diri ke pusingan pertama 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Dunia, Budapest, Hungary, selepas memenangi saringan kedua, pusingan kelayakan.
Azeem yang mempunyai catatan terbaik10.09 saat (s) iaitu rekod kebangsaan, tiada masalah memenangi perlumbaan itu dengan catatan masa 10.24s
Mengiringi Azeem, pelari Belize, Brandon Jones yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan catatan 10.94s.
Setiap dua pelumba terbaik dalam empat saringan pusingan kelayakan layak secara automatik ke pusingan pertama sambil diiringi dua lagi pelari dengan catatan terbaik.
Pelari berusia 19 tahun itu, muncul pelari terpantas daripada 29 atlet yang beraksi dalam pusingan kelayakan.
Atlet Guyana, Emanuel Archibald muncul kedua pantas dengan catatan 10.27s, manakala pelari Gambia Ebrahima Camara ketiga (10.32s).
Azeem hadir ke Budapest dengan misi melakukan catatan 10s, dalam usahanya melayakkan diri ke Olimpik Paris 2024 secara merit.
Justeru, Azeem akan beraksi dalam pusingan pertama perlumbaan yang dijangka berlangsung kira-kira jam 1 pagi nanti.