ESOK, jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akan beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary, sekali gus membuka peluang buat pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) negara itu memburu slot merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemerhati sukan olahraga tanahair, menganggap tiada yang mustahil buat Azeem melakar kejayaan itu.

Bekas pelari pecut kebangsaan, Nazmizan Mohamad berkata, Azeem boleh melayakkan diri secara automatik ke Paris, sekiranya melepasi had kelayakan 10 saat (s) untuk ke temasya terbesar dunia itu.

Katanya, jika Azeem yang mempunyai catatan terbaik 10.09s (rekod kebangsaan) mampu melakukan sehabis baik sejak dari pusingan awal, peluang untuk dia menempah tiket awal ke Paris adalah tinggi.

“Saya tengok Azeem, dia seperti ada habit untuk memperlahankan lariannya apabila dia mendahului terutama ketika aksi saringan.

Nazmizan Muhammad (kiri) harap Azeem tidak memperlahankan larian di hujung perlumbaan, biarpun pada acara saringan.

“Kalau boleh, tetap bagi 100 peratus tidak kira pusingan saringan sekalipun. Seperti di Colombia (Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia) tahun lalu ketika dia pecahkan rekod kebangsaan dengan 10.09s itu di pusingan saringan, kalau kita tengok dia memperlahankan lariannya pada 10 atau 20 meter terakhir. Jika dia tidak memperlahankan lariannya ketika itu, dia boleh catat masa yang lebih baik.

“Kalau atlet yang sudah biasa buat catatan bawah 10s, memang biasa mereka memperlahankan larian kerana mereka simpan tenaga untuk pusingan seterusnya tetapi kita yang belum lagi melakukannya, perlu bagi all out sejak dari awal,” kata Nazmizan yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004.

Azeem perlu memberikan yang sehabis baik dalam setiap perlumbaan dalam usaha mendapatkan catatan 10s.

Azeem yang layak beraksi atas tiket wild card di Kejohanan Olahraga Dunia, akan memulakan aksi di pusingan kelayakan.

Dia diletakkan dalam saringan kedua pusingan kelayakan bersama tujuh lagi pelari iaitu Brandon Jones (Belize), Aayush Kunwar (Nepal), Winzar Kakiouea (Nauru), Dylan Sicobo (Seychelles), Seco Camara (Guinea-Bissau) dan Kylian Vatrican (Monaco).

Dua pelari terpantas dalam setiap saringan pusingan kelayakan layak ke pusingan pertama.