AMSYAR Sirhan dinobatkan sebagai juara remaja dunia buat kali kedua berturut-turut di World Cup Woodball Championship 2024 yang berlangsung di Shaoxing, China baru-baru ini.

Kejohanan edisi kesembilan itu telah berlangsung pada 14 hingga 20 Oktober 2024 lepas, menyaksikan penampilan terbaik Amsyar yang akhirnya berjaya menamatkan pukulan dengan mata 129 dan sekali gus dinobatkan sebagai juara remaja dunia.

Pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Perlis itu turut menyatakan kesungguhannya dalam melakukan latihan rapi selama empat minggu bagi persiapan ke temasya berkenaan.

Pada awalnya, sasaran anak muda itu hanyalah berjaya menduduki di kelompok 5 teratas namun dengan usahanya yang sangat cemerlang, ia telah berjaya membawa gelaran juara remaja dunia.

Aksi penampilan Amsyar dalam kejohanan.

“Semasa latihan persiapan, saya lebih fokus berkenaan dengan Teknik-teknik hayunan tangan saya kerana ianya penting bagi mengekalkan hayunan yang betul.

“Pesaing-pesaing di kejohanan ini amat hebat kesemuanya dan ianya akan sedikit menganggu tahap emosi saya. Jadi seminggu sebelum kejohanan bermula saya tidak menjalani latihan dan berehat secukupnya,” ujar Amsyar.

Selain dinobatkan sebagai juara remaja dunia, Asmyar juga telah mendapat Naib Juara dalam kategori remaja berpasukan bersama-sama rakan seperjuangan iaitu Adam Mukriz, Muhammad Aiman Haizad dan Muhamad Norfazli Fitri.

Amsyar juga pernah menjuarai beberapa kejohanan yang lalu (sepanjang tahun 2024) dan sasarannya pada akan datang adalah untuk menjuarai Temasya Sukan SEA pada 2026 kelak.