KEMPEN kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) edisi kedua bakal melabuhkan tirainya dari 3 hingga 5 November depan.
POPIC 2023 yang bertemakan Whack The Wave, akan mempertandingkan enam kategori, termasuk Terbuka Antarabangsa SS1 (lelaki dan wanita), Terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita), dan Inter Varsity (lelaki dan wanita).
Penganjuran kejohanan ini adalah hasil kerjasama kerajaan negeri Pahang, Tourism Pahang, dan pelbagai agensi kerajaan, serta mendapat sokongan penuh dari Persatuan Kanu Malaysia dan Persatuan Kanu Negeri Pahang.
Penasihat kejohanan POPIC 2023, Emir Abdul Jalal telah mengumumkan bahawa perlumbaan ini akan bermula di Pantai Rantau Panjang, Rompin sejurus melibatkan tiga kategori iaitu antarabangsa, kebangsaan, dan inter-varsity dengan jarak sejauh 14km untuk antarabangsa dan kebangsaan, serta 6km untuk inter-varsity.
“Peringkat kedua POPIC 2023 telah mensasarkan lokasi kejohanan di Pantai Lagenda, Pekan, dengan jarak yang sama untuk ketiga-tiga kategori.
“Manakala, peringkat terakhir akan diadakan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, dengan jarak perlumbaan antarabangsa dan kebangsaan sejauh 20.53km, manakala inter-varsity kekal 6km,” ujar Emir.
Tambahnya, penyertaan dalam kategori Inter Varsity hanya terbuka kepada peserta yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Jadi pelajar universiti dan kolej layak bertanding.
Kejohanan yang menawarkan ganjaran bernilai RM 117,000 ini diharapkan mampu menggerakkan aktiviti pelancongan sukan di Pahang dan mempromosikan negeri tersebut di mata dunia.
Kini, difahamkan lebih daripada 200 peserta dari dalam dan luar negara telah mendaftar untuk menyertai POPIC 2023 yang akan berlangsung pada November depan.