KEMENANGAN pertama yang dicari pasukan ragbi bawah-19 (B-19) di Kejohanan Ragbi Asia B-19 tidak kesampaian selepas pasukan kendalian Mohd Irwan Abdol itu tewas kepada Taiwan 13-38 pada aksi kedua sebentar tadi.

Selepas tewas 9-43 kepada Hong Kong sebelum ini, kemenangan amat ditagih dari skuad negara ketika berdepan Taiwan.

Pemain ragbi negara disekat dan dikawal rapi pasukan Taiwan.

Pada perlawanan yang berlangsung di Padang Astaka Petaling Jaya, Taiwan bermula garang pada separuh masa pertama apabila mendahului 23-0 selepas berjaya menyempurnakan tiga try, satu conversion dan dua penalti.

Bersambung babak kedua, Taiwan meningkatkan tempoh permainan dan kesilapan skuad Bunga Raya memberi ruang kepada Taiwan melakukan try dan conversion sekali gus meletakkan skuad kendalian Chi-Hsiang Hung selesa dengan kedudukan 30-0.

Pemain negara cuba melakukan ‘tackle’ ke atas pemain Taiwan.

Bagai jatuh ditimpa tangga, pemain Malaysia Muhammad Aidil Syawal dilayangkan kad merah dan diarah keluar padang selepas mengutip dua kad kuning. 

Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh Taiwan yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan satu try untuk menutup saingan itu dengan kemenangan mutlak 13-38.

Skuad negara hanya mampu meraih 13 mata hasil dua sepakan penalti dan satu conversion yang dilakukan Ahmad Alif Husaini pada serta satu try yang dilakukan Nolan Segaran.

Kekalahan itu menyaksikan peluang skuad negara untuk beraksi di Kejuaraan Trofi Ragbi Remaja Dunia di Kenya tahun depan, tertutup rapat.

“Saya sudah berulang kali mengingatkan pemain saya untuk merebut peluang yang ada, tetapi saya juga perlu akur dengan kehebatan Taiwan. 

“Pujian untuk pemain saya yang menunjukkan semangat juang yang tinggi di separuh masa kedua walaupun ketinggalan. 

“Saya mempunyai waktu yang singkat untuk menyediakan pasukan ini, dengan hanya mempunyai tiga minggu sahaja untuk bersaing dengan dua pasukan terbaik dalam rantau ini, jadi banyak halangan dan cabaran yang saya perlu atasi sepanjang pembentukan pasukan ini,” jelas Irwan. 

ARTIKEL BERKAITAN : Ragbi Asia B-19: Malaysia buru kemenangan pertama

Dalam masa yang sama, Irwan juga melahirkan kekesalan terhadap tindakan pengadil yang melayangkan kad merah buat Aidil namun yakin pemain itu tidak akan digantung oleh pihak Kesatuan Ragbi Asia. 

“Pada pendapat saya, saya boleh terima apabila Aidil mengutip kad kuning pertama, tetapi tidak untuk kad kuning kedua kerana Aidil tidak melakukan sebarang kesalahan ketika melakukan bentesan.

“Pengurus pasukan (Mohd Khairul Nizam) akan membuat surat aduan kepada pihak Ragbi Asia tentang insiden ini. 

“Kes Aidil sudah pasti akan dibawa ke jawatankuasa disiplin Ragbi Asia, tetapi saya yakin Aidil tidak penggantungan akan dikenakan terhadap pemain tersebut,” tambah Irwan.