EDISI ke-12 Kejohanan Ragbi Perdana 7 Sebelah (7s) Maktab Melayu Diraja Kuala Kangsar (MCKK) 2024 telah membuka tirainya pada Jumaat sambil menyaksikan aksi perlawanan yang cukup mendebarkan.

Pasukan tuan rumah, MCKK diikat 10-10 oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) dan tidak dinafikan, MCKK tetap mempamerkan kegagahan awalnya dengan mencatat satu ‘try’ sebaik sahaja babak pertama bermula.

Kebangkitan SESMA di padang MCKK, Kuala Kangsar, Perak walau bagaimanapun terserlah dengan menyamakan kedudukan menerusi dua ‘try’ yang mengagumkaan untuk memaksa perlawanan berkesudahan seri 10-10.

Jurulatih MCKK, Mohd. Romli Saad nyata akur dengan keputusan seri yang diputuskan pada akhir perlawanan, dan yakin bahawa anak buahnya dapat menghasilkan aksi yang lebih cemerlang pada perlawanan seterusnya.

Kejohanan Ragbi Perdana 7s MCKK telah bermula pada Jumaat.

“Kami bermula dengan gagah, menguasai babak pertama. Sekalipun hilang tumpuan babak kedua sehingga terikat mata, saya percaya pasukan saya dengan kemampuan dan peningkatan mereka bagi perlawanan akan datang,” ujarnya.

Aksi Kumpulan A tidak kurang sengitnya dengan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) meraih ‘try’ minit akhir babak kedua untuk menjinakkan Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (SSYP1) 17-12.

Keunggulan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas (AKRAM) pula terpapar dalam perlawanan Kumpulan B dengan menumpaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SHOAW) 15-0 hasil tiga ‘try’ dengan satu dalam babak pertama dan selebihnya pada babak kedua.

Seorang pemain STAR sedang meluru ke kawasan pihak lawan.

Dengan corak permainan yang serba pantas dan kuat serta menyambar setiap peluang keemasan, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) jelas tidak bermasalah untuk menewaskan Victoria Institution (VI) 31-0 dalam perlawanan Kumpulan C.

Mengamalkan corak bertahan yang ampuh, Sekolah Menengah Kebangsaan ABI ternyata sukar menafikan kemenangan 12-0 menerusi satu ‘try’ dalam perlawanan Kumpulan D menentang Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII (KEVII).

Tidak dilupakan, Sekolah Menengah Kebangsaan HOSBA turut membuka langkah kanan dalam Kumpulan F dengan Langkah meyakinkan apabila menundukkan Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) 26-7 hasil dua ‘try’ dan dua ‘conversion’ biarpun lawan sempat membalas dengan satu ‘try’.