DARIPADA lima wakil negara di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia, hanya satu lolos ke final esok.
Aksi separuh akhir kejohanan yang berlangsung di Nonthaburi, Thailand itu, hanya perseorangan lelaki Muhammad Faiq mara ke final, itupun selepas mengatasi rakan senegara di peringkat separuh akhir hari ini.
Faiq yang berdepan Sng Wei Ming, tewas set pertama 14-21, bangkit dua set berikutnya dengan kemenangan 21-16, 21-16.
Di final esok, Faiq akan berdepan pemain Taiwan Su Wei-Cheng yang menewaskan seorang lagi pemain negara, Aaron Tai, 21-12, 19-21, 21-19.
Sementara itu, Faiq yang beraksi kali kedua di separuh akhir, kali ini dalam acara beregu lelaki bersama Lok Hong Quan, gagal meneruskan kemaraan apabila pilihan utama itu tunduk kepada gandingan Taiwan, Lai Po Yu-Lin Yi-Hao 21-14, 14-21, 17-21.
Sementara satu lagi wakil negara di separuh akhir, Kang Khai Xing-Clarissa San dalam beregu campuran, tunduk kepada satu lagi pasangan Taiwan, Bao Xin-Shieh Mi Yen 19-21, 18-21.