FINALIS Remaja Dunia 2023, Aira Azman muncul juara apabila memenangi kategori Divisyen Premier Wanita setelah menumpaskan pilihan ke 3/4 kejohanan, Noor Ainaa Amani Ampandi dalam aksi final Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM kali ke-38 yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Aira, 18, turun sebagai pilihan kedua kejohanan dipaksa bekerja keras berdepan Ainaa, 21, sebelum memastikan gelaran kebangsaan menjadi miliknya dengan keputusan 11-5, 7-11, 11-3, 11-9 dalam masa 26 minit.
Tempat ketiga milik Yee Xin Ying yang telah mecipta kejutan menewaskan Rachel Arnold dengan keputusan 7-11, 8-11, 11-8, 11-8, 12-10 dalam tempoh 34 minit.
“Terima kasih kepada jurulatih saya yang membantu saya dalam sesi latihan. Saya akui agak kepenatan kerana mempunyai jadual kejohanan yang padat, jadi gembira untuk meraih gelaran juara kebangsaan.
“Aina beraksi cukup baik sepanjang minggu ini, semalam dia telah menewaskan Rachel (separuh akhir), jadi saya agak gemuruh berdepannya hari ini. Tetapi kami berlatih bersama banyak kali, jadi saya cuba untuk mempertingkatkan aksi saya ketika bertembung dengannya sebentar tadi,” kata Airaa.
Sementara itu, dalam Divisyen Premier Lelaki, Ivan Yuen membuktikan usia bukan penghalang untuk menggondol juara kebangsaan kali kelima, menewaskan pilihan pertama kejohanan, Addeen Idrakie dalam aksi final.
Addeen Idrakie Bahtiar yang mara ke final buat kali pertama, beraksi cemerlang namun Ivan memiliki kelebihan pengalaman yang ada, berjaya merangkul kejuaraan kelima.
Ivan meraih gelaran keempat dengan menewaskan Addeen Idrakie dengan keputusan 11-6, 11-8, 6-11, 11-6 dalam tempoh 56 minit.
Kejuaraan ini adalah kali keempat berturut-turut dimenangi Ivan yang kali terakhir menjulang trofi pada 2020.
“Saya hilangan kata-kata kerana saya langsung tidak percaya saya mampu untuk memenanginya buat kali kelima kerana saya dan Addeen beraksi dengan cukup sengit sekali hari ini.
“Dengan kehadiran banyak pemain baru semakin meningkat, saya gembira mereka berjaya memberikan cabaran buat kami, khususnya pemain yang lebih senior untuk berusaha lebih keras.
“Ini juga satu motivasi yang baik untuk saya menjelang Sukan Asia kerana saya memang dipaksa bekerja keras sepanjang minggu ini,” jelas Ivan.