SKUAD muda negara memulakan kempen Kejuaraan AFF Bawah 16 Tahun 2022 dengan bergaya apabila menumpaskan Kemboja 3-0 pada aksi pertama Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Maguwoharjo Sleman, Jogjakarta pada Selasa.
Pasukan bimbingan Osmera Omaro itu menampilkan aksi yang meyakinkan apabila menguasai sebahagian besar permainan sejak dari awal perlawanan hingga memaksa pasukan lawan melakukan beberapa kesilapan.
Malaysia mendahului seawal minit keenam oleh Muhammad Arami Wafiy Zakimi sebelum gol sendiri oleh pemain Kemboja dan satu lagi gol oleh Muhamad Farish Danish Mohd Asrul pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh.
Dengan kemenangan ini, skuad negara kini mendahului carta Kumpulan C, berkongsi tiga mata dengan Myanmar tetapi dibezakan dengan perbezaan jaringan.
Malaysia akan menentang Myanmar pada pertemuan kedua kumpulan Jumaat ini dengan kemenangan akan menjamin tempat Harimau Muda di pusingan seterusnya dan selangkah lebih hampir untuk muncul juara.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C yang berlangsung pada sebelah petang, Myanmar mencipta kejutan awal kejohanan ini apabila menewaskan Australia 3-2.