PENGURUS pasukan B-16 tahun kebangsaan, Christopher Raj mahu para pemain tidak terlalu memikirkan apa yang akan diperkatakan oleh netizen sebaliknya lebih fokus kepada aksi di dalam padang menjelang Kejuaraan Asean B-16 2024 di Surakarta, Indonesia.

Christopher yang berpengalaman mengendalikan pasukan remaja negara hanya mahu melihat para pemainnya memberikan tumpuan 100 peratus di dalam padang kerana sedar mereka tetap akan menerima kritikan daripada netizen dalam apa jua keadaan.

Jabatan netizen negara sangat terkenal dengan komen-komen panas yang dilemparkan kepada para pemain kebangsaan tanpa mengira status atau kejayaan yang dicapai dan perkara ini kini menjadi elemen utama buat kekuatan mental para pemain.

Pengurus skuad B-16 tahun kebangsaan, Christopher Raj

“Saya sentiasa berpesan kepada pemain untuk jangan peduli dengan netizen dan jangan bimbang dengan apa yang ditulis mereka kerana apabila anda mewakili negara, anda akan dikritik.

“Anda tidak boleh lari dari perkara ini dan kita dapat lihat pemain dari skuad senior sekalipun juga turut dikritik walaupun mereka bermain baik. Oleh itu, kami mahu lihat pemain berikan yang terbaik buat pasukan dengan 100 peratus komitmen.

“Pemain tahu tugas mereka adalah lakukan yang terbaik buat negara dan kami gembira melihat komitmen yang diberikan oleh pemain dan barisan kejurulatihan sepanjang tempoh persiapan,” katanya dalam sesi sidang media di Petaling Jaya pada Rabu.

Sebanyak 23 pemain telah dipilih dari senarai 40 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat dan kesemua pemain sudah bersedia untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan Asean ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C kejuaraan 12 pasukan itu dan akan berhadapan Timor Leste, Thailand serta Australia dengan tiga juara kumpulan serta satu pasukan tempat kedua terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir.