KETUA pasukan skuad B-16 tahun kebangsaan, Aish Aqasha Noorazhar dan Amar Imran Uzaini Ashadi yakin dengan keserasian yang ada pada skuadnya bagi menghadapi Kejuaraan Asean B-16 2024 di Surakarta, Indonesia bermula 23 Jun 2024.
Aish Aqasha yang juga pelatih Akademi Mokhtar Dahari berkata dia dan rakan-rakan sepasukannya sudah lama beraksi bersama-sama dan berjaya membentuk persefahaman dan juga sudah mula memahami corak latihan dan permainan yang dikehendaki oleh jurulatih, Javier Jorda Ribera.
“Kami sudah kenal lama dan mempunyai ‘bonding‘ yang bagus serta telah berlatih baik mengikut arahan jurulatih jadi kami mahu beri komitmen terbaik pada kejuaraan kali ini.
“Persiapan kami berjalan lancar sejak bulan Februari lalu dan berharap dapat berikan keputusan baik buat Malaysia. Skuad ini mempunyai pemain ramai dari JDT dan AMD tetapi kami mudah faham dengan arahan jurulatih,” katanya.
Seorang lagi kapten pasukan, Amar Imran pula berkata ada beberapa pemain yang dipilih dari Akademi Johor Darul Ta’zim sudah biasa dengan taktikal barisan kejurulatihan dan menganggap tiga mata pada perlawanan pertama cukup penting untuk pasukan.
“Kami terutama pemain-pemain dari Akademi JDT sudah biasa dengan taktikal dari jurulatih dan semua pemain berikan komitmen tinggi dalam latihan kerana kami dah kenal satu sama lain sejak pasukan B-12 tahun dan keserasian ini boleh beri kelebihan buat kami.
“Perlawanan menentang Timor Leste sangat penting tetapi kami hanya fokus kepada diri sendiri sahaja dan akan memastikan tiga mata dapat dikutip pada aksi permulaan bagi memastikan kami mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini,” jelasnya.
Malaysia akan membuka tirai saingan pada 23 Jun menentang Timor Leste sebelum bertemu Thailand dan Australia dalam Kumpulan C dengan juara kumpulan akan layak secara automatik ke peringkat separuh akhir.