PASUKAN badminton lelaki menghampiri perjuangan mempertahan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, selepas melangkah ke perlawanan akhir dengan mengatasi ranjau Jepun di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Dalam keharuan yang melanda pasukan negara di suku akhir semalam, apabila berdepan masalah kecederaan pemain perseorangan, skuad negara tampil bertenaga menyingkir Jepun menerusi kemenangan 3-1.

Lee Zii Jia mengetepikan masalah resdung, tampil menyumbang mata pertama pasukan negara ketika menewaskan Kenta Nishimoto.

Malaysia memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tidak berdepan banyak masalah untuk menghadiahkan mata pertama pasukan negara selepas menang 21-18, 21-15.

Keyakinan Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir, bertambah apabila beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadikan kedudukan 2-0 di depan, selepas menewaskan Akira Koga-Taichi Saito 15-21, 21-17, 21-10.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamer aksi bertenaga ketika bangkit menewaskan Akira Koga-Taichi Saito.

Bagaimanapun, Jepun kembali merapatkan kedudukan 2-1 menerusi perseorangan kedua, apabila Koki Watanabe mengatasi Leong Jun Hao 19-21, 21-12, 21-19.

Pemain beregu yang diturunkan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi wira Malaysia apabila menghadiahkan mata kemenangan pasukan negara apabila menewaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-15, 21-19.

Meskipun mengalami sedikit kecederaan belakang, Leong Jun Hao mempamerkan persembahan bertenaga sebelum tunduk kepada Koki Watanabe.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menamatkan kebangkitan Jepun dengan menewaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura.

Tambah manis, kemenangan itu pastinya menjadi hadiah paling bermakna buat Wooi Yik yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 hari ini.

Malaysia akan merebut kejuaraan apabila dijadual menentang China pada perlawanan akhir esok selepas skuad Tembok Besar itu menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.