USAHA melahirkan pelumba motosikal terbaik negara telah membuahkan hasil apabila Kejuaraan Cub Prix Malaysia memasuki tahun ke-30 penganjuran sejak diperkenalkan pada tahun 1994.

Bermula dengan aspirasi untuk memberikan peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk melebarkan sayap di arena permotoran nasional kini Kejuaraan Cub Prix Malaysia mempunyai misi untuk terus meneroka dan mengatasi batasan untuk melahirkan pelumba-pelumba yang lebih berkaliber.

Pengarah Promosi Safe Aim Mutual, Ron Hogg berkata kejuaraan ini telah berkembang bukan hanya dari sudut penglibatan pelumba dan perlumbaan, tetapi juga dari sudut kualiti dan tahap saingan sukan ini.

 

Selain itu, kejuaraan ini juga telah menyaksikan pembinaan fasiliti yang lebih baik hasil pelaburan untuk mengikuti standard yang ditetapkan oleh FIM untuk memastikan keselamatan pelumba lebih terjamin.

Sebagai penganjur kejuaraan ini juga, Ron berbangga kerana telah berjaya melahirkan pelumba menerusi program pembangunan dengan menawarkan 60 biasiswa setiap tahun sepanjang 10 tahun terakhir ini.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian kejuaraan ini yang berjaya membuka laluan kepada para pelumba mahupun pasukan untuk mengorak langkah ke tahap seterusnya di arena sukan permotoran Asia dan antarabangsa.

“Dengan sokongan dan dorongan berterusan yang diberikan oleh semua pihak, kami pasti dapat merealisasikan misi tersebut dan kejayaan dan pencapaian ini tidak mungkin terjadi tanpa kerjasama dan sokongan keluarga Cub Prix,” katanya pada majlis Sambutan Tahun ke-30 Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

Sambutan Tahun ke-30 Kejuaraan Cub Prix Malaysia disambut dengan gilang gemilang di sebuah hotel terkemuka di ibu negara yang turut dihadiri Menteri Belia Dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta Pengarah Urusan Kanan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz.

Edisi ke-30 untuk musim 2023 ini bakal menyaksikan 10 pusingan berlangsung bermula di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) pada 25 Februari dan berakhir di Litar Batu Kawan pada 26 November 2023.