MAT Zan Mat Aris memilih kejayaan membawa Imigresen FC menjuarai Liga MBSB 2023, antara kenangan paling manis dan bersejarah.

Ini berikutan dua kejayaan terakhirnya, membimbing Melaka United menjuarai Liga FAM 2015 dan juara Liga Perdana 2016.

Menurut pengendali berusia 65 tahun itu, kejayaan itu dianggap bersejarah berikutan peristiwa itu berlaku di bumi Melaka, melengkapkan tiga kejuaraan dicapainya sebagai ketua jurulatih di bumi Hang Tuah ini.

“Kejayaan ini satu sejarah juga buat saya, kerana berlaku di Melaka selepas dahulu bawa Melaka United juara Liga FAM dan Liga Perdana,” katanya, ambil menyatakan kesyukuran, atas kejayaan Imigresen FC.

Hampir 11 bulan melatih The Mighty Tigers, Mat Zan menganggap pasukan itu “tidak berjaya mencapai sasaran”, sebaliknya melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu berada di dua kedudukan teratas Liga MBSB.

“Alhamdulillah kita juara… kalau tengok pada satu ketika, kita ketinggalan sembilan mata namun kegigihan pemain dan pasukan, mereka mengejar dua pasukan teratas hingga ke penghujung saingan belum ada yang disahkan juara, dan akhirnya kita juara,” kata Mat Zan yang pernah membawa Terengganu menjuarai Piala Sumbangsih dan juara Piala Malaysia 2001.

Di sebalik kemenangan 1-0 ke atas Melaka FC, Mat Zan mengakui perlawanan terakhir liga M3 itu, menyaksikan tempo pasukannya agak perlahan.

“Mungkin pemain terlalu berhati-hati untuk melakukan pergerakan tapi Alhamdulillah, kita dapat sepakan penalti dan mempertahankan satu gol hingga ke minit terakhir.”

Beliau enggan mengulas mengenai hala tuju pasukan ke saingan Liga Super dan menyerahkannya kepada pengurusan.