PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Radzak mengakui dia sangat beremosi ketika aksi terakhir Liga Super 2023 yang menyaksikan JDT membelasah Penang FC 8-0 untuk mengesahkan kejuaraan kesepuluh berturut-turut.

Dia dilihat menangis dan menahan sebak sepanjang separuh masa pertama selepas Arif Aiman datang memeluknya selepas meraikan jaringan pembukaan JDT pada minit kelima perlawanan.

“Sudah tentu saya rasa sangat gembira muncul juara Liga Super 10 kali berturut-turut, syukur kerana rezeki saya masih ada tiap-tiap tahun dan saya bangga kerana jatuh bangun JDT saya ada bersama dan itu yang buatkan saya sedikit emosi kerana bukan mudah untuk mana-mana pemain dapat 10 tahun kejuaraan berturut-turut.

“Saya terkejut apabila Arif Aiman datang memeluk saya selepas dia menjaringkan gol pertama tetapi saya anggap itu adalah satu penghormatan darinya buat saya dan saya harap Arif dapat pecahkan rekod saya jadi juara 10 tahun kerana dia masih muda dan perjalanannya masih jauh,” katanya ketika ditemui di sambutan Decade of Dominance JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Pemain yang berusia 36 tahun itu juga masih berteka teki mengenai masa depannya di kelab itu dan gembira membawa peranan sebagai ‘abang’ di dalam pasukan untuk memberikan motivasi kepada pemain-pemain muda.

“Berkaitan masa depan saya di sini, saya masih belum tahu kedudukan saya musim depan kerana saya akan berjumpa dahulu dengan pihak pengurusan untuk berbincang dan tunggu apa kata putus daripada JDT.

“Saya selesa dengan pemain-pemain muda di JDT. Apabila kita selesa dengan mereka, mereka akan selesa dengan kita dan saya dah anggap mereka seperti anak saya sendiri. Kami bergurau dan setiap masalah mereka datang bercerita kepada saya dan saya cuba beri nasihat yang baik kepada mereka demi kemajuan dalam karier mereka,” tambahnya.

Aidil yang menyertai Harimau Selatan sejak 2013 muncul pemain pertama memenangi Liga Super sepuluh kali berturut-turut dan dia berasa bangga untuk berada dalam projek JDT yang menyaksikan keseluruhan 26 trofi berjaya dimenangi.