PASUKAN Terengganu FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang pasukan Dong A Thanh Hoa FC dalam perlawanan Kejuaraan Kelab Asean (ACC)  2024 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Rabu malam.

Walaupun bermula garang dengan mendahului perlawanan pada separuh masa pertama, pasukan bimbingan Tomislav Steinbrückner gagal mengekalkan kelebihan apabila pasukan pelawat bangkit untuk mencatat keputusan seri.

Perlawanan bermula dengan pantas apabila Terengganu FC hampir mencipta gol seawal 20 saat, menandakan dominasi tuan rumah di awal permainan.

Terengganu tampil untuk mendapat tiga mata pertama pertama mereka.

Pasukan Terengganu bermain secara tersusun, menggunakan hantaran pendek untuk menguasai bahagian tengah padang, sementara Dong A Thanh Hoa FC tampil disiplin dalam pertahanan.

Pada minit ke-19, Akhyar Rashid membuka tirai jaringan buat Terengganu FC dengan rembatan kaki kanan menewaskan dua pertahanan lawan dari luar kotak penalti.

Gol tersebut memberikan keyakinan kepada Terengganu untuk terus menekan pasukan pelawat, yang tampak buntu di bahagian serangan tanpa kehadiran penyerang import mereka, Rimario Gordon.

Akhyar menjaringkan gol pembukaan buat Terengganu

Terengganu FC menggandakan jaringan pada minit ke-40 melalui Manuel Ott, hasil gerakan cantik di sayap kanan.

Akhyar dan Azam Azmi bergandingan baik sebelum hantaran cut-back Azam disudahkan dengan rembatan padu oleh Ott di dalam kotak penalti, menjadikan kedudukan 2-0.

Namun, Minit 45+1, penyerang  Thanh Hoa, Luiz Antonio berjaya merapatkan jurang melalui sepakan percuma, setelah gol tersebut disahkan oleh VAR, menamatkan separuh masa pertama dengan Terengganu mendahului tipis 2-1.

Memasuki babak kedua, hujan lebat terus membasahi padang, mengakibatkan keadaan permainan menjadi semakin sukar.

Pasukan pelawat mengambil kesempatan apabila pada minit ke-53, Ubaidullah Shamsul secara tidak sengaja menjaringkan gol sendiri setelah gagal mengeluarkan bola dan terkena dirinya akibat permukaan padang yang licin, menyamakan kedudukan 2-2.

Akhyar dinobatkan sebagai MVP untuk perlawanan malam ini.

Terengganu FC berusaha mencari gol kemenangan dengan beberapa peluang termasuk sepakan percuma dalam kotak penalti pada minit ke-75, namun gagal disempurnakan.

Pasukan pelawat turut mencipta beberapa percubaan berbahaya, namun penjaga gol Terengganu, Suhaimi, berjaya menyelamatkan gawang daripada terus dibolosi.

Hingga ke minit terakhir, kedua-dua pasukan terus memberikan tekanan, tetapi keputusan kekal 2-2 sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Terengganu FC kekal menduduki tangga kelima dengan mengumpul hanya satu mata dari dua perlawanan.

Terengganu perlu bangkit dalam perlawanan seterusnya untuk terus berada dalam saingan Shopee Cup 2024.

Terengganu Fc masih berpeluang untuk mara ke pusingan seterusnya, namun perlu memperbaiki kelemahan terutama dalam bertahan bagi memastikan keputusan lebih positif dalam perlawanan akan datang.