PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengakui dia tidak gembira dengan keputusan perlawanan selepas pasukannya diikat 2-2 oleh kelab Vietnam, Thanh Hoa dalam aksi kedua Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2024-25 namun berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pemain-pemainnya.

Skuad penyu mendahului 2-0 pada satu masa menerusi jaringan Akhyar Rashid dan Manuel Ott sebelum beberapa kesilapan kecil membenarkan lawan bangkit untuk mencuri satu masa dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.

“Kami seharusnya dapat lebih dari satu mata tetapi itulah bola sepak apabila berlaku beberapa kesilapan kecil. Kami bermain hampir sempurna pada babak pertama dengan mengawal perlawanan dan mendahului 2-0 tetapi lawan berjaya mendapatkan satu gol pada minit-minit terakhir separuh masa.

“Harapan kami mahukan tiga mata untuk terus bersaing dalam kumpulan ini dan terbukti kami adalah pasukan yang lebih baik tetapi kami gagal menyudahkan peluang dan mempunyai masalah dalam set pieces yang mana ianya bukan kali pertama.

“Saya tidak gembira dengan keputusan tetapi berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Jurulatih asal Croatia itu turut mengakui peluang Terengganu ke pusingan seterusnya semakin sukar namun dia masih percaya skuadnya mampu bangkit dalam baki tiga perlawanan untuk merebut dua tempat teratas Kumpulan A.

“Selepas keputusan ini, peluang kami semakin sukar tetapi kami juga lihat semua pasukan mempunyai standard yang sama dan jika kami teruskan bermain seperti ini kami mampu untuk layak ke peringkat seterusnya,” jelasnya.

Berakhir dua perlawanan, Terengganu hanya mengutip satu mata dan baki tiga perlawanan menentang Shan United, PSM Makassar dan BG Pathum United bakal menjadi ujian terbesar buat Tomislav selepas ini.