PENGENDALI skuad bawah (B-19) Wanita Kebangsaan, Cameron Ng menganggap persembahan pada hari perlawanan akan menjadi penentu sama ada skuad Malayan Tigress mampu meraih kemenangan dalam Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 di Palembang, Indonesia.

Dia bagaimanapun gembira dengan komitmen yang ditunjukkan anak-anak buahnya terutama ketika latihan dan yakin kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk sekurang-kurangnya mencatat satu kemenangan dalam peringkat kumpulan.

“Persiapan berjalan dengan lancar dan pemain beri 100 peratus komitmen dalam latihan dan saya berpuas hati dengan persiapan pasukan serta saya yakin dengan kemampuan pasukan ini.

“Mereka berlatih dengan baik dan mempunyai “chemistry” yang baik antara satu sama lain dan menunjukkan kerjasama yang baik namun semuanya akan ditentukan pada hari perlawanan kerana persembahan pada hari perlawanan akan jadi penentu sama ada kita mendapat keputusan yang baik atau tidak,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ditanya sama ada pengalaman beberapa pemainnya yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa sebelum ini boleh membantu pasukannya menghadapi pasukan pilihan Vietnam, Cameron menjelaskan bahawa ianya akan membantu namun perlu bersikap realistik kerana Vietnam lebih maju dari segi pembangunan bola sepak wanita.

“Memang kita tahu Vietnam lebih maju dalam pembangunan bola sepak wanita tetapi kita perlu berani untuk bertemu pasukan seperti ini namun secara realistik kita tidak perlu takut dan lakukan yang terbaik.

Cameron Ng

“Pengalaman pemain bermain di peringkat antarabangsa akan membantu tetapi perlu diingat mereka ini kebanyakkannya berusia 17 tahun untuk bermain di peringkat B-19 dan saya yakin mereka akan bagi persembahan terbaik untuk kita akan dapat mata selain pasukan ini masih muda dan akan meningkat di masa akan datang,” tambahnya.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B bertemu Singapura pada 8 Julai sebelum berhadapan Vietnam pada 10 Julai dengan dua pasukan teratas akan layak ke peringkat seterusnya.