DUA kapten bersama skuad Malayan Tigress B-19 Nur Amirah Rahman dan Nur Mecca Rania Hazri bersetuju agar semua pemain tidak menghiraukan komen-komen negatif di media sosial sebaliknya hanya menumpukan perhatian untuk memberikan aksi terbaik buat skuad negara.
Amirah, 19, dan Rania, 18, telah dipilih sebagai kapten bersama oleh pengendali pasukan, Cameron Ng dan mereka yakin dengan kemampuan diri sendiri dan rakan sepasukan untuk layak ke peringkat separuh akhir Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 yang berlangsung di Palembang, Indonesia.
Mereka berdua juga positif dengan persiapan pasukan dan mahu menjadikan aksi bertemu Vietnam sebagai medan pendedahan terbaik kerana Vietnam mempunyai pembangunan bola sepak wanita yang lebih maju berbanding Malaysia.
“Bagi saya kita hadap sahaja apa yang dikatakan dan kita tunjukkan di padang yang kita boleh dan hiraukan apa orang cakap. Kita main cara kita sahaja dan elak baca komen di media sosial.
“Kawan-kawan boleh terima kami sebagai kapten dan persediaan juga cukup baik dan kami akan lakukan yang terbaik di sana,” ujar Amirah yang bermain di posisi pertahanan.
“Saya juga begitu dan jadikan komen netizen di media sosial sebagai motivasi dan saya tidak akan marah mereka kerana itu bukan cara saya dan saya ambilnya sebagai motivasi untuk beraksi lebih baik.
“Sebagai satu pasukan, mereka banyak bagi kerjasama kepada kami dan kami mempunyai ‘teamwork‘ dan ‘chemistry‘ yang baik serta tidak sukar untuk kami sebagai kapten kerana semua pemain mendengar arahan,” tegas Rania yang bakal menggalas tugas sebagai pemain tengah menyerang.
Amirah yang berasal dari Kedah meletakkan sasaran untuk menewaskan Singapura dan mengurangkan jurang dengan pasukan pilihan Vietnam selain sasaran individu sebagai pertahanan untuk memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.
“Kami nak menang dengan Singapura dan kurangkan jurang dengan Vietnam iaitu tidak mahu dibelasah manakala sasaran peribadi sebagai pertahanan adalah saya tidak mahu bolos lawan Singapura dan cuba untuk elak dibolosi lawan Vietnam,” ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Sementara itu Mecca Rania hanya mempunyai satu sasaran iaitu membawa pasukan layak ke separuh akhir namun tetap berhati-hati ketika beraksi untuk mengelakkan dari terlebih yakin yang boleh membawa keburukan kepada pasukan.
“Kami yakin tetapi mahu mengelak terlebih yakin. Kami hanya mahu beraksi dengan baik dan dapatkan kemenangan ke atas Singapura dan rapatkan jurang dengan Vietnam. Sasaran peribadi saya pula adalah sekurang-kurangnya layak ke semi final,” katanya.
Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B bertemu Singapura pada 8 Julai sebelum berhadapan Vietnam pada 10 Julai dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir.