PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee bangga dengan kejayaan lima pemain skuadnya yang dipanggil Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa di Johor Bahru.
Lima pemain Sabah yang terpilih adalah Stuart Wilkin, Darren Lok, penjaga gol muda Damien Lim, Daniel Ting dan Dominic Tan yang bakal menguji pasukan Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ini adalah satu penghargaan buat para pemain di mana seperti saya selalu katakan apabila kita dapat mewakili negara itu adalah satu pencapaian yang terbaik dalam karier bola sepak kita.
“Saya juga berharap lima pemain ini dapat mengekalkan disiplin mereka dan seterusnya terus dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan dalam kejohanan-kejohanan yang berprestij selepas ini kerana ianya akan memberi pengalaman yang baik untuk mereka.
“Dengan pengalaman ini, saya harap apabila mereka kembali ke pasukan Sabah FC, ianya dapat membantu pasukan kita supaya kita lebih mencabar dalam saingan Liga Super tahun ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Selain lima pemain tempatan ini, seorang lagi pemain import, Saddil Ramdhani turut dipanggil jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan Burundi.
Sabah yang masih segar dengan kemenangan 5-2 keatas Penang FC pada Jumaat akan berhadapan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim selepas berakhir minggu antarabangsa Fifa dengan kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
Selepas lima perlawanan liga, Sabah kini ditangga kedua dengan 13 mata hasil empat kemenangan dan satu keputusan seri dan akan bertanding di Kejohanan Piala AFC yang akan bermula pada Ogos 2023.