PENGENDALI Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid menganggap kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam suku akhir Piala FA adalah pengajaran yang baik buat para pemainnya untuk menjadi lebih matang dalam perlawanan.
Skuad Harimau Kumbang ditunjukkan jalan keluar dari kejohanan kalah mati itu selepas dibelasah Harimau Selatan 5-0 dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.
Manzoor juga dapat melihat beberapa kesilapan yang perlu dibetulkan kerana Penang akan sekali lagi bertemu JDT untuk aksi Liga Super kali ini di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 3 Jun 2023.
PIALA FA 2023
FT: Johor Darul Ta'zim 5-0 Penang FC
⚽ Ousmane Fane (GS) 32', Jordi Amat 38', Arif Aiman Hanapi (P) 49', La'Vere Corbin-Ong 58' , Syafiq Ahmad 90+2'
** Johor Darul Ta'zim mara ke separuh akhir #PialaFA2023#LuaskanKuasamuJohor#HariaPenangHaria pic.twitter.com/FQcM321Kvl
— Flash Sukan (@FlashSukan) May 28, 2023
“Pujian buat pemain saya kerana tunjuk kesungguhan walaupun ketinggalan. Ini adalah pengajaran buat kami dan apabila bercakap tentang pengajaran kami akan bertemu JDT sekali lagi Sabtu hadapan.
“Jika sebelum ini kami melihat permainan mereka dari video analisis sahaja, hari ini kami dapat melihat sendiri permainan JDT yang diluar jangkaan dan hebat di segala posisi. Banyak benda perlu kami diperbaiki untuk sekurang-kurangnya mencuri mata di Pulau Pinang dan saya perlu lihat keadaan pemain dahulu kerana ada yang cedera,”
“Kita perlu berusaha lebih. Jika dilihat diatas kertas banyak berbeza namun kami tidak akan mengalah dan berusaha walaupun tahu ianya sukar kita akan tetap mencuba dan ini adalah proses untuk pasukan Penang yang baharu dibentuk ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pemain kebangsaan itu juga mengakui sukar untuk mengawal kombinasi serangan JDT bukan hanya Arif Aiman sahaja dan ini adalah kenyataan yang perlu dihadapi para pemain dan dia cuba mengatasi masalah ini.
“Kombinasi pemain JDT sukar dikawal dan bukan hanya Arif Aiman sahaja dan ini adalah kenyataan untuk kami cuba atasi masalah ini. Sebenarnya dari awal permainan saya sudah memberitahu para pemain bahawa kita tidak rugi apa-apa dari perlawanan ini.
“Meskipun tidak layak ke separuh akhir tetapi kami dapat pengajaran dan boleh mematangkan pemain. Ini adalah manfaat yang lebih besar buat kami dan tidak adil untuk bandingkan Penang dengan JDT kerana walaupun tewas dengan jaringan besar kami tetap teruskan perjuangan,” tambahnya.
Ditanya bagaimana barisan pertahanannya akan cuba mengekang JDT yang kembali mendapatkan khidmat ayam tambatan, Bergson dalam aksi di Stadium Bandaraya nanti, Manzoor tenang berkata bahawa itu semua adalah cabaran kerana JDT sudah berada pada tahap yang berbeza.
“Kami kena hadapi Bergson atau Forestieri kerana mereka mempunyai tahap yang lain. Kami cuba curi satu mata dan jika gagal kami mungkin beri mereka kemenangan ke-13 kerana mereka mempunyai kualiti taktikal dan teknikal yang berbeza dan kita perlu pandang positif perkara ini kerana ianya bagus untuk Liga Malaysia,” ujarnya.
Manzoor juga tidak risau dengan kedudukan Penang FC dalam liga kerana ianya melibatkan 14 pasukan dan dia lebih fokus kepada pasukan yang berada pada kelompok yang sama dengan pasukannya dan bukannya kepada JDT yang sudah jauh dihadapan.