PENAUNG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar akui semua penyokong Hijau Kuning amat kecewa dengan keputusan perlawanan pusingan kedua Piala FA 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.

Menurutnya, semua mengharapkan pasukan kesayangan mereka dapat melangkah ke peringkat seterusnya.

“Saya juga amat sedih. Namun, kekalahan semalam perlu menjadi titik tolak muhasabah total.

“Selepas perlawanan, saya sediakan makanan lewat malam kepada semua pemain dan pegawai serta pasukan kejurulatihan.

“Sudah pasti mereka lapar setelah bertungkus lumus dan berpenat lelah bagi menyiapkan diri berlawan sepanjang hari dan dalam tempoh 90 minit,” ujarnya yang turut menyaksikan perlawanan Terengganu FC berdepan KDA FC.

Mohd Daud memberitahu, beliau menyambut kedatangan pasukan di sebuah restoran berdekatan stadium yang diusahakan oleh rakan alumni Kolej Islam Klang, Omar Abdul Aziz selepas permainan.

“Bagi saya, mereka adalah seperti keluarga saya. Sedih memang sedih. Tapi kehidupan dan perjuangan mesti berterusan.

“Siapa yang tidak pernah gagal dan jatuh?Saya juga pernah gagal banyak kali.

“Saya juga sedih melihat air muka mereka. Saya bersalam dengan semua mereka. Ini pasukan saya juga. Macam adik-adik dan anak-anak,” katanya lagi.

Banyak perkara yang Mohd Daud bualkan dengan jurulatih sambil menjamah nasi putih dengan ikan siakap tiga rasa dan sup tom yam.

“Nampak coach kurang berselera. Inilah sifat diri manusia. Ada masa kita down dan sedih.

“Semalam kita ditakdirkan kalah. Terengganu FC bermain dengan penuh semangat di hadapan penyokong mereka yang hebat dan awesome sepanjang dan selepas perlawanan,” katanya.

Sewaktu meninggalkan bangunan stadium, beliau menceritakan terserempak dengan dua orang anak muda dari Kedah.

“Depa semua mai Kuala Terengganu dengan bas. Hebat. Tabik spring.

“Saya sempat tanya komen mereka tentang prestasi pasukan Kedah FC. Banyak yang mereka kongsikan.

“Terima kasih semua penyokong Kedah yang menyokong di stadium semalam.

“Perjuangan mesti tidak terhenti,” katanya.