KEPUTUSAN tewas besar Perak FC pada perlawanan sulung Liga Super di halaman sendiri bagaikan sukar untuk ditelan Datuk Lim Teong Kim.
Jelasnya, tiada apa yang boleh dilakukan apabila beraksi kekurangan dua pemain atas padang yang di buang padang gara-gara mengutip kad merah.
“Kami berjuang sungguh-sungguh..susah sikit bila main kurang dua orang. Cara mereka main saya tetap puas hati walaupun kalah 4-1. Keputusan ini susah nak telan tapi inilah bola sepak.
“Kita bermula baik tetapi selepas itu kerana keputusan yang dibuat tak betul dan kita dapat gol penyamaan. Pemain kurang pengalaman dan ini jadi masalah termasuk beraksi kurang dua pemain.
“Tapi cara mereka bermain tunjuk satu semangat melawan yang baik. Susah nak kejar (bila ketinggalan),” katanya selepas perlawanan di Ipoh pada Sabtu malam.
Pengendali berusia 59 tahun itu juga tidak gusar apabila gagal menggunakan khidmat Ahmad Haziq Ahmad Puad dan Sunday Kolawole Afolabi perlawanan akan datang kerana miliki pilihan pemain di posisi dikosongkan.
“Tak mengapa. Ada banyak perlawanan lagi akan datang dan boleh memperbaiki masalah yang diterima. Kita mesti lihat Kedah bukan pasukan setahun jagung. Mereka pasukan berpengalaman ada banyak import bermain. Inilah perbezaan,” katanya yang berasal dari Melaka.
Perlawanan berikutnya, The Bos Gaurus akan bertandang ke tempat lawan bertemu PDRM FC di Petaling Jaya pada Selasa dalam usaha melakar kemenangan pertama yang dicari-cari pada permulaan kempen liga.