MASA menjadi cabaran besar buat jurulatih fizikal, Mohd Roesdi Ab Ghani, dalam usaha mengubah perseorangan utama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Ng Tze Yong menjadi lebih kuat, tangkas dan mempunyai daya tahan tinggi dalam permainan.
Jurulatih yang pernah diberi tanggungjawab membentuk fizikal Datuk Lee Chong Wei daripada seorang yang ‘keding’ kepada sasa dan memiliki tahap kecergasan tinggi, sekitar 2008 hingga 2018, menjadi harapan ABM, dalam usaha memastikan Tze Yong melayakkan diri ke Olimpik Paris.
Menurutnya, dia diberi tanggungjawab melatih Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao sejak Ogos lalu, namun tidak mempunyai ruang masa yang besar kerana Tze Yong kerap mengikuti kejohanan.
“Tak banyak ruang untuk saya kerana Tze Yong sering ke luar negara, menyertai kejohanan namun selepas Terbuka Hylo, saya dapat melatihnya dalam tempoh yang agak panjang kira-kira 5 minggu.
“Latihan kepada Tze Yong berkisar kepada cara kita nak tingkatkan impulsif, ketahanan dalam diri dari segi anaerobik, aerobik serta ekspolsif dalam gelanggang,” kata Roesdi.
Ujar Roesdi lagi, agak sukar untuk Tze Yong menambah berat badan dalam usaha membentuk otot dengan lebih pantas, jadi pihaknya dan barisan kejurulatihan perlu mendapatkan kerjasama pakar pemakanan.
“Dari segi kekuatan, dia sudah cukup bagus dan saya berterima kasih kepada jurulatih kecergasan sebelum ini jadi tugas saya sekarang adalah menukarnya kepada eksplosif dengan baik, kita boleh mendapatkannya tapi dari masa ke masa, dalam waktu singkat nak dapatkan semuna sekali serentak agak mustahil.”
Selepas kira-kira lima bulan melatih Tze Yong, Roesdi mengakui banyak peningkatan dipamerkan Tze Yong terutamanyna dari segi eksplosif namun agak bergelut di awal latihan untuk mendapatkan perubahan anaerobik.
“Setakat ini saya lihat Tze Yong menerima kaedah latihan dengan baik kerana dia tahu apa yang diperlukannya.
“Setiap kali kami (barisan kejurulatihan) sediakan program untuk dia, kami akan terangkan tujuan dan fokus yang dimahukan jadi, Tze Yong datang dengan minda yang sudah bersedia,” tambah Roesdi.
Mengulas mengenai perbezaan antara Tze Yong dan Chong Wei pada peringkat awal beliau latih, Roesdi mengakui tidak banyak perbezaannya, “Cuma yang berbeza adalah, saya mempunyai ruang masa yang besar untuk melatih Chong Wei, manakala sebaik melatih Tze Yong, masa terbatas dan singkat.”
Berdasarkan kemaskini ranking semasa kelayakan Olimpik Paris, Tze Yong berada di kedudukan ke-13.