PASUKAN utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal berdepan dengan aksi pramusim yang penuh mencabar, lebih-lebih lagi apabila dijangka mendapat lawan daripada sebuah kelab antarabangsa rantau Asia Tenggara.

Sebelum itu, Kedah akan memulakan aksi pemanas badan dalam perlawanan empat penjuru Agarbomb Performance Cup di Kuala Terengganu pada 17 April nanti diharap agar dapat menonjolkan prestasi memberangsangkan sebelum bermulanya liga sebenar.

Pemilik saham majoriti Kedah FC, Tan Sri Daud Bakar menyatakan bahawa Terengganu ll, Terengganu FC dan juga Penang FC antara pasukan yang akan terlibat dalam aksi empat penjuru berkenaan.

Antara aksi pramusim KDA FC yang akan diadakan di Stadium Darul Aman.

“Pramusim 2024/25 KDA FC juga akan melibatkan beberapa lagi perlawanan dengan tiga perlawanan dirancang akan diadakan di Stadium Darul Aman.

“Di stadium keramat Darul Aman ini, Kedah akan membuat percaturan dengan pasukan Negeri Sembilan FC, Perak FC, Penang FC dan seterusnya dengan satu kelab dari luar negara yang akan diumumkan pada masa akan datang.

“Perlawanan bersama Perak dan Penang di Stadium Darul Aman adalah sebagai satu aksi ujian Teknologi Video bantuan pengadil (VAR) yang akan diguna pakai di stadium berkenaan.

Tan Sri Daud Bakar mendedahkan waktu-waktu perlawanan persahabatan dalam satu sidang media.

“Kedah FC telah melakukan persiapan rapi dan berhemah. Dengan bajet sederhana, walaupun dilanda beberapa halangan dan isu kewangan, pihak pengurusan tetap komited dan telah membuat perancangan rapi membentuk pasukan mengikut adunan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain,” ujar Daud Bakar dalam satu sesi sidang media di Alor Setar pada Selasa.

Sementara itu, Kedah FC juga telah memutuskan bahawa mereka hanya merekrut lima orang pemain import bagi memperkuatkan pasukan Sang Kenari musim ini.

“Pasukan Liga Super telah lengkap sepenuhnya. Seramai 27 pemain akan membentuk pasukan Liga Super KDA FC bagi mengharungi Liga Malaysia dalam tiga kejohanan utama iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia,” tambahnya.