MANA-MANA pihak termasuk kelab dan persatuan berdepan risiko disenarai hitam serta tidak layak menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), jika gagal mengikut garis panduan ditetapkan bagi sukan drag dan motorcross.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh memberi amaran itu kepada setiap persatuan yang berhasrat menganjurkan sukan permotoran terbabit, supaya mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Beliau berkata, ia merupakan langkah pencegahan dalam usaha memastikan perkara tidak diingini, daripada berlaku dalam mana-mana penganjuran sukan permotoran yang berisiko tinggi itu.

“Dari segi penguatkuasaan, kita akan buat laporan polis jika (pelanggaran garis panduan) berlaku manakala Pesuruhjaya Sukan (PJS) boleh senarai hitamkan mana-mana persatuan atau kelab yang degil untuk mendapatkan kelulusan selain tidak dapat peruntukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu penganjur sukan drag dan motorcross mematuhi garis panduan ditetapkan MAM, bagi mengelak risiko kemalangan dalam perlumbaan. | FOTO KBS

“Kita akan mencari jalan bagi memastikan hanya yang betul-betul bertanggungjawab dalam industri sukan ini, boleh bergiat dalam sukan permotoran,” katanya, selepas pelancaran garis panduan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu adalah Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Suhardi Alias.

Garis panduan yang dikemaskini itu meliputi aspek pengenalan, perundangan, penguatkuasaan, keselamatan dan pengendalian penganjuran kedua-dua sukan permotoran yang telah diluluskan KBS.

Sementara itu, Mokhzani turut menjelaskan, mana-mana perlumbaan melibatkan drag atau motorcross yang dianjurkan tanpa mendapat kelulusan daripada KBS akan diiktiraf sebagai perlumbaan haram.