KEJAYAAN Kuala Lumpur City FC layak sehingga ke perlawanan akhir Piala AFC dalam debut mereka dilihat sebagai mimpi yang indah buat kelab kecil yang tidak pernah mempunyai sejarah beraksi dalam peringkat kelab Asia.
Kerja keras dan sokongan dari semua pihak menjadi tunjang utama kekuatan skuad kendalian Bojan Hodak ini yang berjaya menempa sejarah tersendiri buat kelab sejak 32 tahun sepi tanpa kejayaan yang membanggakan.
Menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab, Kuala Lumpur City FC merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada di dalam atau di luar kelab dan kepada penyokong yang setia hingga ke penghujung meskipun tewas.
Small Club With Big Dreams 🔴⚪️
First debut in the AFC Cup and played through to the Final. What an achievement for the football club. pic.twitter.com/TMTLb8EZyJ
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) October 24, 2022
“Kelab kecil dengan impian yang besar. Debut dalam Piala AFC hingga layak ke perlawanan akhir. Satu pencapaian yang hebat buat kelab bola sepak ini.
“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami tidak kira di dalam atau di luar kelab terutama kepada penyokong setia kami yang menyokong kami sejak awal dan tetap memberikan kami sokongan dan menunggu di stadium walaupun selepas wisel penamat, terima kasih.
Ini hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lebih hebat. Sampai Mati Kuala Lumpur!,” tulis kenyataan itu.
Kuala Lumpur City FC berjaya layak ke final selepas melalui tiga perlawanan getir di tempat lawan menewaskan Viettel FC di Hanoi, ATK Mohun Bagan di Kolkata dan Sogdiana Jizzakh di Uzbekistan sebelum tewas di final kepada wakil Oman, Al-Seeb untuk menjadi naib juara Piala AFC.