SEBUAH pasukan berstatus kelab mungkin dijadikan ‘sparring’ skuad Harimau Malaya pada perlawanan pemanas badan di Doha, Qatar.

Pengesahan ini dinyatakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Perbincangan bersama coach Kim Pan-gon, mungkin akan cuba untuk lawan satu kelab bila kita sampai awal. Pasukan akan pergi 1 Januari ini dan perlawanan itu kalau dapat akan bermain pada 4 Januari.

“Kita baru sahkan kita akan lawan Syria pada 8 Januari nanti. Tapi lawan Syria itu nanti bukan dalam kalendar Fifa.

“Tapi berdasarkan mesyuarat saya dengan Kim Pan-gon, kita akan lawan satu kelab bila kita sampai nanti. Sebab pasukan akan bertolak awal pada pagi 1 Januari.

“Kalau kita dapat lawan satu kelab pada 4 Januari nanti, itu sudah bagus. Tapi coach Kim Pan-gon kata satu perlawanan pada 8 Januari pun sudah cukup untuk beliau menukar pemain pada 8 Januari.

“Tapi kalau dapat sparring satu lagi kelab pun okey kerana dia pun risau berlaku kecederaan,” kata Hamidin.

Terdahulu, Syria bakal menguji taring anak buah Kim Pan-gon pada 8 Januari namun, perlawanan ini tidak berada dalam kalender Fifa.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia akan memulakan saingan Kumpulan E di Doha menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan membuat perhitungan menentang juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.