PASUKAN hoki dari luar negara dijangka menyertai Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan dalam usaha Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meningkatkan lagi mutu liga hoki kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, pembabitan pasukan luar mungkin boleh menjadi sebahagian daripada daya tarikan untuk menarik lebih ramai peminat hoki datang ke stadium.
“Kita akan bincangkan perkara ini dan jika saranan itu boleh membuatkan liga menjadi meriah, boleh kita lakukan. Mana tahu jika ada negara yang berminat (menyertai MHL). Mana-mana negara boleh bermain di sini,” katanya, dalam sidang media di pejabat KHM pada Isnin.
MHL 2023 dijangka berlangsung 9 Februari hingga 19 Mac.
Begitupun, Anil berkata, gelanggang untuk kejohanan berkenaan masih lagi belum diputuskan.
“Sekarang kita akan membuka pendaftaran pasukan yang dijangka bermula Jumaat ini dan ditutup pada 29 Disember. Jadi ada masa sebulan untuk mana-mana pasukan membuat persiapan.
“Mereka juga masih sempat untuk mengenal pasti pemain import kerana ia menggunakan format lama boleh menggunakan maksimum khidmat empat orang pemain import,” kata Anil sambil berharap peningkatan kes Covid-19 tidak menjejaskan kehangatan MHL.
Dalam pada, Anil berharap sekurang-kurangnya tujuh atau lapan pasukan dapat menyertai MHL dan jika lebih banyak mengambil bahagian, menjadi satu bonus buat penganjur.
“Sebelum ini, dua atau tiga tahun saya mengendalikan MHL, dalam saingan lelaki, kira-kira tujuh atau lapan pasukan akan mengambil bahagian. Jika kita dapat sembilan pasukan, ia akan membuatkan saya rasa bersyukur,” katanya.
Untuk rekod, untuk tahun ini, Terengganu Hockey Team (THT) muncul juara, manakala Piala TNB dimenangi pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).