KELAB Penyokong Hijau Kuning (HKC), menyambut baik rombakan yang bakal dilakukan oleh pengurusan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Presidennya, Saiful Azrul Che Lah berkata, menjadi lumrah ia dilakukan untuk menambah baik kekuatan pasukan agar terus kekal kompetitif.

Bagaimanapun, rombakan tersebut perlu dilakukan dengan cara yang betul terutamanya dalam pemilihan pemain.

“Jurulatih baru perlu diberi kuasa penuh untuk mendapatkan pemain agar selari dengan falsafah bolasepak jurulatih baru.

“Kemudian seperti yang ditekankan oleh HKC dalam dialog bersama KDA FC pada Ogos lepas, penekanan terhadap urus tadbir KDA FC harus diperkasakan.

“Peranan Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Teknikal Kejurulatihan dan lain-lain harus ditetapkan juga KPI berdasarkan terma rujukan peranan mereka.

“Tidak guna melakukan rombakan jika urus tadbir kelab masih lemah dan tidak sistematik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN pada Jumaat.

Saiful Azrul berpandangan, jika pengurusan tidak mahu ada penumpang dalam pasukan, memperkasakan urus tadbir juga dapat menyingkirkan penumpang dalam pengurusan.

“Rombakan urus tadbir ini penting agar sesiapa yang bakal menerajui KDA FC akan cakna dengan keperluan kelab dari pelbagai aspek bolasepak moden seperti penjanaan pendapatan, keperluan infrastruktur, pembangunan jatidiri pemain, kebajikan, sains sukan, pembangunan bakat muda, pengesanan bakat dan beberapa lagi aspek penting,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : KDA FC singkir pemain besar-besaran, tak mahu ada ‘penumpang’ dan gagal sumbang tenaga

Secara ringkasnya, HKC mengharapkan rombakan itu bukan sahaja bertumpu kepada barisan pemain dan kejurulatihan tetapi juga terhadap barisan pengurusan.

“Ia bertujuan agar kelab dapat bergerak atas landasan yang betul dan mempunyai kekuatan kewangan yang kukuh bagi memastikan kelab dapat mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.