KEJAYAAN penganjuran sulung Kejohanan Golf Wanita Terbuka Kelana Queen tahun lalu, dijangka menarik minat lebih ramai penyertaan untuk edisi kedua, yang bakal berlangsung 11 Mac depan.
Berlangsung di Kelab Golf Negara Subang (KGNS), kejohanan yang disertai 80 pemain wanita kelab tahun lalu itu, dijangka bertambah kepada 100 penyertaan tahun ini.
Lady Covernor, Sharifah Khatijah Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini, pihaknya menerima 10 penyertaan antarabangsa selain pemain wanita dari kelab-kelab golf berhampiran.
“Sehingga hari ini, kita sudah menerima 87 penyertaan, saya rasa mungkin boleh cecah 100 penyertaan… jika KGNS izinkan,” kata Sharifah Khatijah.
Beliau yakin penganjuran edisi kedua KGNS Kelana Queen ini, menarik perhatian ramai kerana menggunakan konsep ‘terbuka’.
“Antara penyertaan pemain dari luar negara yang sudah kita yerima termasuk dari Jerman, Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Saya pasti, penganjuran kali ini lebih berprestij dengan hadiah menarik ditawarkan selain hadiah dan cenderahati percuma kepada peserta.”
Beliau berkata, tarikh tutup penyertaan pada 5 Mac nanti dan sehingga kini, penyertaan peserta termuda yang mengesahkan bertanding adalah berusia 30 tahun manakala yang paling berusia, 81 tahun.
Pemain KGNS, Ng Say Guat yang memenangi kejohanan tahun lalu, akan beraksi mempertahan kejuaraan dimenanginya.
Malah, acara itu dijangka lebih meriah selepas Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Aishah Rohani Tengku Mahmud bersama Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdil Halim Mua’dzam Shah, akan turut bersaing.
Kejohanan itu akan berlangsung dalam tempoh sehari, namun dijangka dinaik taraf kepada dua hari pada edisi ketiga tahun hadapan.