KELANTAN dinobatkan sebagai juara sulung Liga Premier Futsal (MPFL) Divisyen 2 selepas mengakhiri kempen liga dengan rekod tanpa kalah pada aksi terakhir yang berlangsung di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.

Dengan meraih 10 kemenangan dan satu seri, pasukan dari pantai timur itu mengumpul 31 mata dalam saingan format liga sepusingan yang disertai 12 pasukan.

Ketua jurulatih futsal Kelantan, Muhamad Fadhil Yusoff mengatakan berbangga dengan kemampuan pemain-pemainnya sepanjang saingan liga berlangsung.

Meskipun seri pada aksi terakhir menentang Malaysian University, beliau masih bangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh anak buahnya itu.

“Saya nampak pemain yang beraksi untuk pasukan Kelantan mereka memberikan komitmen penuh 100 peratus kepada pasukan.

“Ini membuktikan bahawa pemain-pemain Kelantan mempunyai jati diri yang tinggi untuk bermain demi negeri Kelantan.

“Secara jujurnya, kami tidak menyasarkan untuk menang semua perlawanan tetapi untuk memberikan pemain-pemain muda merasai pengalaman dan kehangatan liga MPFL ini,” katanya.

Kelantan mencatat keputusan seri 2-2 menentang Malaysian University dalam aksi terakhir liga.

Selaku juara divisyen 2, Kelantan akan bertemu dengan salah satu daripada dua pasukan tangga terbawah Divisyen 1 bagi merebut slot ke Piala Futsal Malaysia 2024.