PERTAHANAN Kelantan FC, Yusri Yuhasmadi percaya sentuhan pengendali baharu, Choi Moon Sik mampu memberi kelainan kepada pasukan itu dalam saingan Liga Super yang akan membuka tirai hujung bulan depan.

Memegang lilitan selaku ketua pasukan musim lalu, Yusri melihat corak latihan dan taktikal berbeza diterapkan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu dalam latihan pra musim ketika ini memberikan keyakinan.

“Tahun ini sangat berbeza jika dibanding dengan tahun lalu. Dibawah kendalian Moon Sik, caranya lebih keras namun, semua pemain dapat mengikuti apa yang dia mahukan termasuk dalam soal taktikal yang ingin diterapkan dalam pasukan.

Kesebelasan utama Kelantan FC yang diturunkan menentang Kedah FC pada aksi persahabatan baru-baru ini. (Foto : TRW Kelantan FC)

“Suasana dalam pasukan juga baik ketika ini dan saya percaya Kelantan FC dapat melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Super walaupun sedar bakal berdepan pasukan-pasukan yang lebih hebat dan berstatus bintang.

“Insya-Allah, kami sebagai pemain akan membuat yang terbaik pada musim ini dan akan cuba sedaya upaya untuk mencapai sasaran yang akan ditetapkan,” katanya.

Ditanya perbezaan corak latihan Rezal Zambery Yahya pada musim lalu dengan Moon Sik, Yusri memaklumkan setiap jurulatih mempunyai corak tersendiri dan masing-masing mempunyai idea untuk menaikkan mutu pasukan.

“Dengan Moon Sik, dia ada cara sendiri dan Rezal juga ada cara dia. Pada permulaan, pemain agak susah nak terima apa yang dingin diterapkan oleh jurulatih Korea Selatan itu namun, sekarang semua sudah berjalan dengan baik,” tegasnya.

Selain Yusri yang dilihat antara pemain berbakat dalam pasukan, Kelantan FC juga memiliki  Muhaimin Izuddin atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Qomi’ mempamerkan aksi yang cukup agresif dan berkualiti dari segi corak permainan.

Diberi kepercayaan sebagai nadi tengah pasukan Kelantan FC, Qomi menggalas tanggungjawab untuk menggerakkan serangan menerusi serangan pantas.