PEMAIN-pemain Kelantan United FC (KUFC) dilaporkan sudah lima bulan tidak menerima gaji dan para pemain sudah muak dengan janji-janji pengurusan yang dari sehari ke sehari semakin culas dan dilihat tidak memikirkan kebajikan mereka.
Menurut sumber dalaman yang menghubungi FLASH SUKAN, apa yang menambah tekanan dan rasa tidak puas hati di kalangan pemain terutama pemain tempatan adalah pengurusan hanya membayar gaji pemain import selama dua bulan dan langsung tidak membuat bayaran kepada pemain tempatan sejak kali terakhir Jun lalu.
Atas sebab itu, Kelantan United terpaksa melepaskan pengendali, Ailton Da Silva dan penyerang import Filipina, OJ Porteria yang menamatkan kontrak lebih awal dengan pasukan Kijang Emas itu.
Selain itu, sumber dalaman itu turut mendedahkan bahawa pihak pengurusan juga mahu semua pemain tidak membesarkan isu ini dan berjanji untuk menjelaskan semua tunggakan gaji namun masih hampa.
Sumber itu juga mendedahkan pihak pengurusan sering ‘main harga’ apabila ada pelabur baharu yang berminat untuk menaja pasukan dan perkara ini dilihat seolah-olah cuba memberikan keuntungan kepada individu dan bukannya digunakan untuk menampung kos operasi kelab.
“KUFC tak bayar gaji lima bulan. Pengurusan pergi bayar import dulu dua bulan. Pemain tempatan tak bayar langsung. Pengurusan minta pemain senyap tapi minggu demi minggu tidak juga ada perubahan. Bila ada ‘investor’ nak masuk, KUFC main harga.
“Pengurusan akan cakap kita akan tolong bayar juga tapi jangan bising-bising sebab nak jaga nama baik pasukan tetapi sampai kesudah tak bayar,” katanya.
Isu tunggakan gaji kembali membarah dalam bola sepak Malaysia musim ini apabila dikhabarkan enam dari 14 kelab yang bertanding dalam Liga Super mengalami masalah tunggakan gaji dan ini menjejaskan prestasi pemain dan nilai pasaran Liga Malaysia itu sendiri.