KELANTAN United FC akan mula dikenali sebagai Kelantan Darul Naim FC bermula musim ini.

Perubahan nama dan logo kelab pantai timur itu dibuat menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh laman Facebook rasmi kelab tersebut pada Selasa.

“Seiring dengan harapan dan aspirasi daripada semua pihak, tanggal 12 Mac 2024 atau 1 Ramadan 1445H, secara rasminya kami mengumumkan kepada semua penjenamaan semula nama kelab beserta logo dari Kelantan United FC kepada Kelantan Darul Naim FC.

“Penjenamaan semula nama dan logo kelab adalah disebabkan keinginan pihak pengurusan untuk menyatupadukan semula para penyokong dan pendukung bola sepak Kelantan dibawah satu panji serta bendera kebanggaan, Kelantan Darul Naim.”

Pihak pengurusan kelab tersebut juga menyatakan bahawa perubahan nama dan logo kelab bukan untuk menggantikan pasukan utama (TRW Kelantan FC) tetapi sebagai satu entiti yang lebih dominan dan berdaya saing di peringkat tertinggi Liga Malaysia.

Pihak pengurusan menerusi Presidennya, Rozi Muhamad juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan First Instant Body (FIB) kerana membenarkan penjenamaan semula pasukan itu menjelang musim baru Liga Malaysia.

“Dengan nama serta logo yang baharu, besar harapan kami untuk melihat semua pihak di Kelantan dapat bersatu padu demi menyaksikan sebuah kelab bola sepak dari negeri Cik Siti Wan Kembang memberi saingan dan mencabar hebat kelab-kelab yang lain dalam saingan Liga Malaysia pada tahun ini,” katanya.

Pihak pengurusan kelab itu juga menyuruh penyokong untuk memberi sokongan penuh kepada kelab dengan memenuhi stadium serta membeli barang rasmi kelab itu supaya perjuangan kelab itu kekal mekar di jiwa warga negeri tersebut.

Kelantan Darul Naim FC yang sebelum ini dikenali sebagai MPKB-BRI FC dan Kelantan United FC bermula dari bawah apabila memulakan perjalanan mereka pada 2016 di Piala FAM (sebelum bergelar Liga M3), kelab ini kemudiannya berjaya menjuarai Liga M3 pada 2019 sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam Liga Premier.

Selepas tiga musim, Kelantan Darul Naim mendapat peluang untuk turut sama bersaing dalam Liga Super bermula musim lalu.