TUJUH pasukan Asean bertarung dalam Kelayakan Akhir Piala Asia AFC 2023 yang bermula Rabu lalu dengan setiap negara meletakkan harapan untuk layak ke kejohanan terbesar bola sepak Asia itu.
Terdapat kejutan kepada beberapa pasukan pilihan, kemenangan selesa dan kekecewaan minit akhir mewarnai perlawanan pembukaan yang sememangnya menarik minat penyokong bola sepak serantau.
Indonesia berjaya mengejutkan bekas juara Kuwait dalam Kumpulan A di laman lawan meskipun dibarisi pemain muda. Ketika mereka dilihat bukan sebagai pilihan, anak buah Shin Tae-yong berjaya bangkit dari ketinggalan untuk menang 2-1 dan kini bakal berhadapan Jordan dalam satu lagi perlawanan penting buat mereka.
Wakil Asean dalam Kumpulan B, Filipina pula terlepas peluang terbaik untuk layak lebih awal ke Piala Asia apabila sekadar seri 0-0 dengan Yemen yang dilihat kurang bersedia dari segi persiapan pasukan. Kini Filipina dalam misi wajib menang menentang pasukan tuan rumah Mongolia.
Thailand berjaya memulakan kempen kelayakan dengan mudah apabila dilihat tidak berdepan masalah membenam Maldives dalam aksi Kumpulan C. Laluan Thailand ke Piala Asia tahun hadapan dilihat mudah apabila bakal menentang Sri Lanka dan dijangka mereka sekali lagi akan mendapat tiga mata penuh.
Buat Kemboja pula tiada apa yang perlu dimalukan setelah tewas kepada India 2-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan D. Malah Kemboja di bawah kendalian Keisuke Honda berkemungkinan mampu mengejutkan Hong Kong pada perlawanan kedua nanti sekaligus membuka ruang untuk layak ke kejohanan akhir.
Dalam aksi Kumpulan E pula, Malaysia menunjukkan mereka serius menghadapi kelayakan ini apabila mengatasi Turkmenistan 3-1 sekaligus meningkatkan moral Harimau Malaya yang bermain cemerlang menjelang pertemuan dengan Bahrain pada Sabtu dengan satu mata boleh dianggap sebagai bonus.
Singapura terpaksa menelan hakikat kekecewaan apabila dua gol dalam lima minit memadam kelebihan mereka keatas Kryqyz Republic dan kini terpaksa bekerja keras menghadapi Tajikistan jika mahu menghidupkan semula sisa peluang untuk layak.
Sementara satu lagi wakil Asean, Myanmar jelas tidak berdaya mengekang Tajikistan yang untuk menjadi pasukan Asia Tenggara tunggal yang tewas dengan jaringan besar 4-0 dalam aksi Kumpulan F.
Mampukah pasukan Asean meneruskan rentak cemerlang pada perlawanan kedua esok (Sabtu). Ada pasukan yang bakal mengesahkan tempat dan ada pula yang bakal mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia AFC 2023.